Memiliki Bakakuk: Polis tangkap lelaki tempatan dari Sook

0

ROBERT (kanan) menunjukkan bakakuk yang dirampas. Turut kelihatan Pegawai Penyiasat, Inspektor Azizi Abdul Rahman.

KENINGAU: Seorang lelaki tempatan dari sebuah kampung dalam kawasan Sook yang memiliki senjata buatan sendiri atau ‘bakakuk’ telah ditangkap polis pada Rabu lalu, kata Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Robert Salisip @ David di sini kelmarin.

Bercakap dalam sidang media di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, beliau memberitahu bahawa pada 12 September jam 5.36 petang, satu laporan polis telah diterima dari orang awam yang mengatakan pada hari sama jam 2.30 petang seorang lelaki dari kampung berkenaan memiliki senjata buatan sendiri atau bakakuk.

Katanya, dua anggota polis telah membuat pemeriksaan di kawasan rumah suspek di kampung itu dan hasil soal siasat telah membawa polis ke kawasan semak berhampiran rumahnya.

“Pemeriksaan polis di kawasan semak itu telah menjumpai selaras senjata buatan sendiri jenis bakakuk. Di dalam laras senjata itu dijumpai satu kelongsong peluru yang telah digunakan,” katanya.

Robert berkata, turut ditemui semasa pemeriksaan ialah dua butir peluru hidup. Suspek ditangkap semenatara senjata itu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut.

Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati bahawa suspek mengatakan senjata itu adalah buatannya sendiri dan telah menggunakan senjata itu lebih setahun dalam milikannya untuk tujuan memburu haiwan liar.

“Suspek yang berusia 33 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan penalti kerana memiliki atau membawa senjata dan amunisi tanpa lesen atau permit iaitu dalam milikan, jagaan atau kawalan memiliki senjata, atau amunisi tanpa lesen yang sah jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Robert memberitahu menurut maklumat yang diterima polis masih terdapat penduduk kampung di Sook, Tambunan dan Nabawan memiliki senjata bakakuk untuk tujuan memburu dan kegunaan sendiri.

Beliau juga berkata, polis memerlukan maklumat dan kerjasama dari orang awam untuk bertindak ke atas pemilik-pemilik senjata buatan sendiri di sini dan daerah-daerah berkenaan.