Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Majlis gabungkan semua kaum pupuk semangat muhibah
Majlis gabungkan semua kaum pupuk semangat muhibah
Posted on September 15, 2012, Saturday
KABONG: Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat berkata, penganjuran majlis yang menggabungkan semua suku kaum di negeri ini mampu mempereratkan hubungan dan memupuk semangat muhibah semua kaum.
Katanya, rakyat Malaysia harus bersyukur dan menghargai keistimewaan kepelbagaian budaya yang dikongsi di negara ini.
“Kestabilan dan kemakmuran yang dikecapi hasil kerjasama semua kaum membolehkan setiap perayaan utama etnik di negara ini disambut bersama dan Malaysia mampu mengecapi kemakmuran ketika banyak negara di dunia berdepan dengan isu hubungan perkauman.
“Penyatuan budaya dan sosial yang berkurun lamanya di antara bangsa Melayu, Iban, Bidayuh dan lain-lain telah melahirkan masyarakat Malaysia berbilang kaum yang hidup dalam harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Masyarakat Kabong, malam kelmarin.
Menurut Jelaing, pelbagai perayaan, acara tradisi dan aktiviti kebudayaan sepanjang tahun di Sarawak sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat untuk dikongsi bersama.
“Peluang ini juga merupakan satu landasan terbaik bagi semua pihak khususnya di peringkat akar umbi untuk berbincang dan bertukar-tukar pendapat.
“Ia juga platform untuk bertanya khabar dan mengetahui perkembangan semasa di kawasan masing-masing,” ujar Jelaing.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua komponen parti Barisan Nasional (BN) agar bergabung dan bersatu tenaga khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) yang akan datang bagi memastikan tampuk pemerintahan negara terus kekal dikuasai BN sekali gus memastikan pembangunan dan kemajuan yang dirancang dapat diteruskan.
Turut hadir ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz, Setiausaha Politik Ketua Menteri Kaunselor Kijan Toynbee, Kaunselor Barbra Mawan, Ahli Majlis Tertinggi SPDP Chambai Lindong serta sekitar 800 orang tetamu jemputan yang lain.
<< Previous Entry - Next Entry >>



