Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Belia diingat jangan mudah terpengaruh ‘cerita dongeng’
Belia diingat jangan mudah terpengaruh ‘cerita dongeng’
Posted on September 16, 2012, Sunday
ASAJAYA: Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah mengingatkan rakyat di negeri ini khasnya golongan belia agar tidak mudah terpengaruh dengan ‘cerita dongeng’ pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memecah belah perpaduan dalam masyarakat majmuk di negeri.
Beliau memberitahu, keamanan rakyat yang hidup dalam permuafakatan hasil daripada kemerdekaan negara perlu dipertahankan supaya perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Namun, jika sebaliknya yang berlaku, katanya, kemerdekaan serta kemajuan hasil pembangunan yang dikecapi pada masa kini mungkin akan hilang begitu sahaja.
“Kita lihat sekarang di Sarawak kestabilan politik hasil perpaduan rakyatnya yang bermuafakat antara satu sama lain walaupun kita berlainan kaum dan agama.
“Inilah tunjang utama kemajuan dan pembangunan negara khususnya negeri Sarawak yang harus dipertahankan oleh rakyatnya khasnya golongan muda agar ia terus berkekalan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Semarak Merdeka dan Hari Malaysia 2012 di Pekan Asajaya semalam.
“Melalui program ini kita dapat menyaksikan keharmonian sesama masyarakat setempat dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi selain dapat menanam rasa cintakan kemerdekaan dan keamanan negara yang dikecapi sehingga kini,” tambahnya lagi.
Terdahulu Karim yang juga Menteri Perumahan dan ADUN Asajaya sempat mengikuti senaman ringkas sebelum merasmikan majlis itu.
Sementara itu, Pegawai Daerah Asajaya Rubiah Wang berkata, tujuan penganjuran program itu adalah menyemai rasa cinta terhadap negara dalam kalangan penduduk sempat dari pelbagai peringkat.
“Program ini melibatkan semua orang dari kanak-kanak hinggalah orang dewasa bagi meningkatkan semangat patriotik dalam diri masing-masing selain menyemarakkan sambutan Hari Malaysia,” ujarnya.
<< Previous Entry - Next Entry >>



