Tiada sekolah akan tercicir

0

MOSTI akan kaji kaedah laksana WiFi di seluruh sekolah

KUCHING: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersedia membantu dalam memastikan tidak ada sekolah tercicir daripada menikmati perkhidmatan WiFi seperti yang dituntut dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menterinya, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili memberitahu, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pelajaran dalam mengenal pasti kaedah yang sesuai.

“Kita merupakan agensi penilai jenis teknologi yang dapat digunakan untuk tujuan pendidikan. Apapun, kita perlu mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran terlebih dahulu untuk mengetahui lanjut pelaksanaan inisiatif itu.

“Saya yakin dasar baharu itu akan disokong oleh rancangan pelaksanaan yang baik,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang bagaimana sekolah luar bandar yang tidak mempunyai bekalan elektrik dapat menikmati WiFi apabila pelan pendidikan itu dilaksanakan kelak.

Salah satu inisiatif dalam pelan tersebut adalah untuk menyediakan WiFi di semua sekolah.

Ongkili turut menyifatkan penggunaan tenaga solar merupakan alternatif kuasa yang sesuai di kawasan yang belum mempunyai bekalan elektrik.

“Di kawasan yang tidak mempunyai grid (elektrik), tenaga solar boleh digunakan pada waktu siang bagi menikmati perkhidmatan WiFi,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Sains dan Inovasi, beliau berkata, karnival diadakan serentak dengan Regata Sarawak itu menyediakan sebanyak 72 aktiviti perkongsian ilmu berteraskan sains, kreativiti dan inovasi untuk semua lapisan masyarakat.

Beliau turut memberitahu, Sarawak adalah negeri kelima penganjuran karnival itu, daripada enam segmen karnival yang dijadualkan sebelum menjelajah ke Negeri Sembilan dengan penganjuran acara kemuncak iaitu Forum Inovasi Sedunia di Kuala Lumpur dari 5 hingga 7 November depan.

Sempena karnival itu juga, katanya, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di bawah kementeriannya juga mengadakan Jejak Inovasi di beberapa daerah di negeri untuk mengenal pasti produk-produk inovasi ciptaan kumpulan akar umbi sekali gus memberi pengiktirafan kepada perekanya.