Kuarters pekerja ranap dijilat api

0

BERTUNGKUS-LUMUS: Pihak bomba berusaha memadamkan kebakaran sekitar 7.15 pagi di kuarters pekerja milik syarikat pembalakan di kawasan perindustrian Demak.

KUCHING: Hampir 50 pekerja sebuah syarikat pembalakan di kawasan perindustrian Demak Laut tinggal sehelai sepinggang selepas kuarters yang diperbuat daripada papan tersebut ranap dijilat api.

Kebakaran itu dipercayai bermula sekitar jam 7.15 pagi semalam dari sebuah bilik yang terletak di hujung kuarters 10 unit tersebut.

Menurut penghuni bilik berkenaan, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakannya setelah menghidu bau asap yang datang dari biliknya.

“Saya yang ketika itu sedang bekerja bergegas balik dan kemudiannya cuba pecahkan  pintu masuk untuk menyelamatkan barang.

“Namun api merebak begitu cepat dan tidak ada apa yang sempat diselamatkan,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Turut terjejas dalam kebakaran tersebut adalah seorang pengusaha kerana kantin miliknya juga terletak di blok tersebut.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya Jemiran Kemis berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian sekitar jam 7.54 pagi setelah menerima panggilan pada jam 7.38 pagi.

“Bagaimanapun, ketika pasukan kami tiba api telah marak keseluruhan kuarters tetapi kebakaran dapat dikawal beberapa minit kemudian iaitu pada jam 8.01 pagi,” katanya.

Pasukan bomba Tabuan Jaya turut dibantu oleh anggota daripada Balai Bomba Padungan dan Petra Jaya yang masing-masing mengerahkan sebuah jentera bomba.

Unit bermotosikal dari Padungan serta Persatuan Bomba Sukarela dari Taman Bako Indah turut membantu memadamkan kebakaran tersebut.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.