Deklarasi PR hanya andaian

5

MASING

KUCHING: Menteri Kanan Negeri Tan Sri James Mas­ing berkata Deklarasi Kuch­ing (DK) yang diperkenal­kan Pakatan Rakyat (PR) hanya berdasarkan andaian mereka bukan berlandaskan situasi sebenar yang berlaku di Sarawak dan Sabah.Beliau berkata tujuh perka­ra yang terkandung dalam DK seperti diumumkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin adalah berdasarkan tanggapan PR yang Sarawak dan Sabah tidak ‘mendapat layanan adil’ dalam persekutuan Malaysia.

Malah ujarnya, janji-janji dalam DK itu adalah janji-janji pembangkang yang merupakan janji-janji politik sedangkan pada hakikatnya ia tidak dapat dipenuhi.

“Janji-janji mereka (pem­bangkang) ‘kononnya untuk kehidupan yang lebih baik’ untuk rakyat Sarawak dan Sabah hanyalah janji-janji politik. Suatu yang saya rasa tidak dapat dipenuhi,” ka­tanya kepada Utusan Borneo  semalam.

Masing yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) merangkap Menteri Kema­juan Tanah berkata demikian apabila diminta mengulas tindakan PR mengumumkan DK pada sambutan Hari Ma­laysia di Chonglin Park, di sini kelmarin.

Majlis itu turut dihadiri Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian serta pemimpin-pemimpin kanan PR di Sarawak.

Sementara itu Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol ber­kata rakyat harus tidak mudah terpedaya dengan tindakan pembangkang dengan mengu­mumkan DK sebaliknya cuba meneliti semula Manifesto PR semasa mereka mengambil alih Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

“Berapa banyak sudah janji pilihan raya mereka di ketiga-tiga negeri ini sudah ditunaikan.

“Deklarasi mereka ini tiada keikhlasan. Hanya berkiblatkan nafsu untuk berkuasa.

“Dalam perspektif negeri Sarawak, mereka (pembang­kang) hanya bercakap besar dan merapu. Budaya politik mereka seperti yang kita lihat adalah kasar dan biadab,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, Sarawak men­gamalkan politik pemban­gunan yang mengutamakan perpaduan dan keamanan dan pada masa sama sejak sekian lama merangka satu struktur pembangunan fizikal dan infrastruktur yang seimbang serta teratur.

Perkara paling penting ujarnya, semua ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak bersatu hati dalam satu falsafah politik teguh dan jitu sebaliknya parti politik dalam PR hanya satu kesatuan yang rapuh dengan misi politik berlainan.

“Mereka (parti komponen pembangkang) bukan sahaja kesatuan yang rapuh dengan misi politik berlainan malah pe­nuh dengan kecurigaan antara satu sama lain,” tegasnya.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya memberitahu, tujuh perkara itu akan dilak­sanakan dan direalisasikan sekiranya PR menjadi kera­jaan selepas berjaya menakluki Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

“Bahawa sesungguhnya kami berpegang teguh dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang telah dicetuskan dan dikendalikan oleh pem­impin kami yang terdahulu dan sebagai bukti tanda utuh­nya kesetiaan kami terhadap rakyat Sarawak dan Sabah, berteraskan prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan untuk rakyat Malaysia seluruhnya.

“Dengan pengkhususan istimewa terhadap tujuh perkara dalam Deklarasi Kuching ini bahawasanya kami akan memelihara dan menjunjung setia dasar yang diterapkan dalam Buku Jin­gga supaya Malaysia bakal bangkit semula sebagai sebuah negara makmur, cemerlang, bersatu padu, berkembang maju, selamat, aman damai, agar namanya harum di serata dunia,” katanya.

Anwar menjelaskan, tujuh perkara itu adalah, pertama Kerjasama Bersekutu yang mana mereka akan memulihara inti pati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudu­kan Sarawak dan Sabah setand­ing dengan Semenanjung Ma­laysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, Perwakilan Yang Adil, PR akan memperting­katkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Se­menanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.

Ketiga, Kewarganeraan di mana mereka akan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan masalah nasional berkaitan pendatang tanpa izin dan isu-isu kerakyatan, khususnya di Sarawak dan Sabah.

Keempat, Pengiktirafan Hak Ke Atas Tanah Adat di mana PR akan menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat seperti yang tertakluk dan termaktub dalam undang-undang negeri Sarawak dan Sabah dengan menubuhkan Suruhanjaya Tanah untuk menyiasat, menyelesaikan pertikaian, memperbaharui, menyelidik dan memulihkan Hak Adat Peribumi ke atas pemilikan Tanah Adat.

Kelima, Kecekapan dan Kemandirian Sarawak dan Sabah yang akan mengiktiraf pelantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di jabatan kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh setiausaha-setiausaha kerajaan kedua-dua negeri dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak dan Sabah di peringkat kerajaan persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri masing-masing.

Keenam, Keadilan Dalam Isu Minyak, mereka akan menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber-sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah daripada lima peratus kepada 20 peratus.

Dan yang terakhir, Pembangunan Sekata, yang mana mereka akan membawa tahap kemajuan infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.