Atlet Sukma sertai Lumba Basikal GP Kebangsaan

0

KUCHING: Enam atlet Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak akan menggalas cabaran pada Kejohanan Lumba Basikal GP Kebangsaan Sirkit Sarawak 2012 yang diadakan di Jalan Politeknik/Matang hujung minggu ini.

Atlet-atlet tersebut adalah Rosnina Minggu, Junaidah Jus, Wong Tak Fook, Nizam, Awang Adib dan Awang Adip. Rosnina merupakan pemenang pingat emas acara berbasikal bukit wanita pada Sukma 2012 di Pahang.

“Kejohanan itu dapat memberi pendedahan berguna kepada atlet-atlet negeri sebagai persediaan menghadapi kejohanan Sukma akan datang,” kata Setiausaha Persatuan Berbasikal Sarawak (PBS), Zulaihi Seri di sini semalam.

Selain itu, katanya, kejohanan itu juga memberi peluang kepada pelumba kita menimba pengalaman bersaing dengan pelumba-pelumba kebangsaan termasuk jemputan dari Brunei dan Kalimantan Barat.

Di samping itu, peserta ‘Kayuhan Merdeka 1Malaysia 2012’, Harmy Yusof juga akan turut serta dalam kejohanan selama dua hari itu.

Harmy yang juga jurulatih program pembangunan basikal negeri bercadang untuk mengambil bahagian dalam kategori Tertutup Sarawak.

Menurutnya, beliau hanya mahu menamatkan perlumbaan dan tidak meletakkan apa-apa sasaran utama.

Lebih 150 orang pelumba basikal dari seluruh negara termasuk Brunei dan Kalimantan Barat akan berentap pada perlumbaan sejauh 180 kilometer itu.

Cabaran kali ini dijangka lebih getir di mana peserta-peserta akan menempuh laluan berbukit di kaki Gunung Serapi sepanjang tiga kilometer.

Setakat ini, Kuala Lumpur, Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan kebangsaan dan remaja kebangsaan telah mengesahkan penyertaan dalam sirkit ketiga itu.