Jangan bangkitkan emosi kenegerian untuk raih kuasa

0

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan pembangkang supaya tidak membangkitkan emosi kenegerian dalam kalangan rakyat dalam usaha meraih kuasa.

Beliau berkata, tindakan itu berbahaya dan boleh meng-akibatkan perbalahan yang mengundang kepada perpecahan seperti yang berlaku di beberapa negara luar.

“Saya tahu pembangkang mengidamkan kuasa tapi dalam mengidamkan kuasa, mereka mainkan perasaan kenegerian manusia. Ia adalah berbahaya.

“Kita sudah bina negara 55 tahun dalam keadaan kemajuan yang kita yakin semua rakyat Malaysia telah bersatu padu.

“Jangan hanya kerana ke-rakusan hendak merebut kuasa, kita mempermainkan emosi manusia yang boleh mengakibatkan perbalahan yang takkan ada batasan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara FELCRA dan RISDA di sini semalam.

Justeru, Mohd Shafie berkata tidak perlu kad pengenalan khas dikeluarkan kepada rakyat Sabah untuk membezakan warga negeri itu dengan penduduk lain di Malaysia seperti dicadangkan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee.

“Kenapa kita perlu IC (kad pengenalan) berasingan untuk Sabah. Kita sudah pun menjadi sebuah negara,” katanya.

Beliau berkata perkara seperti itu tidak patut dibangkitkan memandangkan pe-nyatuan Sabah, Sarawak dan Semenanjung dipersetujui sejak dahulu lagi.

Dalam pada itu, Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah meminta rakyat supaya melihat semua perkara atau isu pembangunan yang sering dibangkitkan dalam konteks positif.

Beliau berkata kerajaan sentiasa memberikan agihan pembangunan serta peruntukan yang adil kepada Sabah, Sarawak dan Semenanjung bagi memastikan rakyat di seluruh negara menikmati hasil yang sama rata.

Sementara itu, Mohd Shafie menegaskan langkah beberapa pemimpin UMNO Sabah berhijrah ke parti pembangkang tidak menjejaskan keupayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya akan datang.

“Saya yakin ini tidak akan menjejaskan kerana rakyat di Sabah dah melalui politik yang begitu mencabar sebelum ini,” katanya. — Bernama