Kakitangan KTS diseru tubuh kelab sukan, rekreasi

0

SIBU: Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat KTS Temenggung Vincent Lau menyeru kakitangan KTS di seluruh negara agar mempertimbangkan penubuhan kelab sukan dan rekreasi di tempat kerja mereka.

Bercakap pada Majlis Makan Malam Kelab KTS Sibu pada malam kelmarin, beliau berkata ini adalah seperti apa yang dilakukan oleh Kelab KTS iaitu dengan membawa semua kakitangan bersama-sama untuk bersukan dan mengikuti aktiviti-aktiviti riadah.

Dengan usaha memenuhi kebajikan para kakitangan itu, beliau berharap suatu masa dapat melihat aktiviti-aktiviti Kelab KTS boleh menjadi acara di seluruh negara di mana kakitangan dapat berkumpul dan berinteraksi selain memupuk perasaan muhibah antara mereka.

Selain memberi motivasi supaya beralih kepada kehidupan yang lebih sihat, beliau memberitahu bahawa mereka yang gagal untuk melangkah keluar dari kotak mereka ibarat orang yang mengharapkan kehidupan yang biasa dan kekal sebagai orang biasa.

“Segala-galanya bermula dengan langkah kecil. Sertailah kelab dan anjurkan apa-apa aktiviti untuk mengubah persepsi anda tentang apa yang anda faham dengan kehidupan. Tubuhkanlah lebih banyak kelab sukan di tempat kerja anda,” katanya

Lau turut gembira dengan penganjuran aktiviti-aktiviti sukan yang telah dianjurkan pada tahun ini sebagai sebahagian daripada sambutan Ulang Tahun Ke-50 Kumpulan KTS.

Menurutnya, ahli-ahli kelab tersebut telah mengambil inisiatif untuk mempelawa rakan-rakan mereka dari tempat lain untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam acara mereka.

“Ini adalah satu inisiatif yang baik, oleh itu pihak pengurusan patut memberi sokongan atas usaha itu bagi memberi lebih semangat kepada ahli-ahli,” katanya.

Beliau berkata pada mulanya, Kelab KTS hanya menganjurkan aktiviti-aktiviti untuk kakitangan KTS General Trading tetapi, pada tahun-tahun kebelakangan ini, usaha ini telah diperluaskan ke syarikat-syarikat lain dalam kumpulan itu, termasuk daripada Kumpulan See Hua.

“Saya mengajak para kakitangan untuk melangkah ke hadapan untuk melakukan sesuatu yang positif untuk menukar perspektif kehidupan.

“Kita tidak boleh menunggu selama 50 tahun lagi untuk mencapai satu lagi kejayaan,” ujar Lau lagi.

Pada Karnival Sukan diadakan di sini bermula pada hari Sabtu lalu, Kelab KTS telah menganjurkan pertandingan badminton dan bola keranjang untuk kakitangannya dari Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

Dalam keputusan yang diumumkan semasa makan malam, kakitangan Kelab KTS Sibu telah diumumkan sebagai juara keseluruhan.

Dalam pertandingan lagu karaoke pula pasukan Sibu meraih gelaran juara dalam kategori duet dan kumpulan.

Gelaran juara dalam kategori solo telah diraih oleh kakitangan dari Miri.

Datin Seri Wong Suk Ting yang juga tetamu kehormat telah diberi penghormatan untuk menyampaikan trofi kemenangan kepada semua pemenang.