Rally Tarat tarik minat peserta antarabangsa

0

CABARAN: Eddie (tiga kiri) dan Stanley (tengah) semasa sidang media semalam.

KUCHING: Pelumba-pelumba bertaraf antarabangsa akan berkampung di sini bagi menyertai Cabaran 4X4 Antarabangsa East Valley (Tarat) 2012 pada 22 dan 23 September depan.

Kejohanan julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Kelab Treler 4X4 Tarat dan bertempat di Kem East Valley, Batu 32, Jalan Kuching-Serian.

Pengerusi Acara, Stanley Sila berkata negara-negara yang akan mengambil bahagian ialah Indonesia, Brunei, Filipina dan Perancis. Wakil tempatan akan diwakili oleh peserta dari Kuching, Bintulu dan Miri.

“Kita menjangkakan penyertaan lebih 40 buah kereta pacuan empat roda dalam cabaran ini. Ia terbahagi kepada tiga kelas iaitu A, B dan C,” jelas Stanley pada sidang media di sini semalam.

“Kelas A atau kelas terbuka bagi kenderaan bermodifikasi penuh dan manakala kelas B adalah kenderaan separa modifikasi.

“Perlumbaan ini tidak tertumpu kepada kelajuan kenderaan tetapi lebih kepada teknik serta kemahiran pemanduan. Selain itu, ia juga menuntut kerjasama yang baik antara pemandu dan pembantunya.”

Menurutnya, peserta-peserta kelas A dan B akan melalui lapan peringkat halangan manakala kelas C  menempuh enam rintangan.

“Perlumbaan itu secara tidak langsung dapat mempromosi daerah Tarat kepada pelancong-pelancong luar, sekali gus membantu menjana pendapatan dalam sektor pelancongan.

“Ia mendapat sokongan dari Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Jabatan Imigresen Sarawak, Kastam Diraja Malaysia dan 991.”

Acara kemuncak ialah pelepasan para pelumba pada 22 September dan penutupan pada keesokan harinya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Datuk Roland Sagah yang juga penaung kelab.

Pemenang kelas terbuka bakal menerima wang tunai RM5,000, trofi dan peralatan enjin kenderaan pacuan empat roda manakala kedua dan ketiga akan meraih RM3,000 dan RM1,000 berserta trofi.

Bagi kelas separa modifikasi, pemenang akan membawa pulang RM800, trofi dan peralatan enjin manakala tempat kedua RM500 dan ketiga RM300 beserta trofi.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai perlumbaan dan borang penyertaan, sila hubungi Meeks Mape (013-8164743), Wilfred Sim (017-2288811) dan Jack Jones (012-8855280).