RM6.8 juta peruntukan RES untuk tiga kampung

0

CENDERAMATA: Masir (tengah) bersalaman dengan seorang penduduk sebaik sahaja menerima cenderamata berupa rantai manik pada majlis itu.

SRI AMAN: Sejumlah RM6.8 juta telah diperuntukkan bagi membina kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) di tiga buah perkampungan dalam kawasan Melikin, Balai Ringin dalam tahun 2010 hingga 2012.

Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat berkata tiga buah perkampungan terlibat ialah Melikin Panggil (RM1.01 juta), Danau Melikin (RM5.1 juta) dan Danau Keranggas (RM466,000).

Beliau berkata, projek RES itu bakal mampu memberikan kesenangan hidup kepada sejumlah 342 buah keluarga dari tiga perkampungan terbabit.

“Saya berharap agar penduduk dari ketiga-tiga buah rumah panjang ini bersabar menantikan siapnya kemudahan RES yang bakal mengubah nasib hidup mereka pada masa akan datang,” katanya.

Masir berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Manai Tan, Danau Keranggas, Balai Ringin, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Masir turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM3,000 kepada Biro Wanita Rumah Manai Tan bagi tahun 2013.

Masir menarik perhatian, beliau juga akan mengemukakan permohonan kepada pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) agar mengambil alih jalan di kawasan Melikin yang telah dibangunkan oleh pihak syarikat sebelum ini.

“Jalan di kawasan Melikin telah dibangunkan menerusi konsep ‘Private Finance Inisiative’ (PFI) oleh syarikat WTK dan masih belum diserahkan kepada pihak kerajaan buat masa ini.

“Justeru, kita percaya kerajaan BN tidak akan dapat melaksanakan usaha naik taraf jalan di dalam kawasan Melikin itu selagi jalan terbabit masih menjadi milik syarikat berkenaan,” katanya.

Hadir sama Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Balai Ringin Tuai Rumah Alex Libau, Penghulu Entika Senan serta ketua-ketua kaum sekitar Sri Aman.