PBSM fokus pendidikan kesihatan asas kepada masyarakat

0

PERANAN BAHARU: Chua (duduk dua kanan) bersama Dr Jeyathesan (tengah), Loi (dua kiri), Hii (kanan) dan peserta kursus di Sibu kelmarin.

SIBU: Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cawangan Sarawak telah dan sedang memberi fokus utamanya kepada pengurusan bencana berbanding peranan tradisionalnya iaitu memberi pendidikan kesihatan asas kepada masyarakat, kata Timbalan Pengerusi PBSM Sarawak, Penghulu Chua Hiong Kee.

“Pada masa lalu, PBSM hanya memfokuskan kepada latihan awal kecemasan, servis ambulan dan kempen derma darah sebagai aktiviti utama.

“Tetapi sekarang, kita cuba mengubah pendidikan kesihatan asas ini kepada aktiviti yang lebih utama iaitu pengurusan bencana,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Penutupan Kursus Latihan Persediaan Bencana Berasaskan Masyarakat di sini.

Chua yang juga Pengerusi PBSM Cabang Sibu berkata dengan pengurusan bencana sahaja adalah tidak memadai, sebab itu timbul idea untuk melakukan pengurusan bencana terbabit menerusi persediaan berasaskan komuniti.

“Ini kerana setiap kali pelbagai bencana berlaku, terlintas di fikiran kita adalah bagaimanakah kita mahu melakukan pemulihan. Tetapi, kenapa kita tidak fikirkan sesuatu sebelum malapetaka-malapetaka ini melanda masyarakat.

“Sebenarnya kita mampu lakukan sesuatu untuk mengurangkan kesan bencana bagi mengurangkan kadar bahaya dan kehilangan nyawa akibat pelbagai bencana seperti tanah runtuh dan banjir,” katanya.

Kursus yang bermula 15 September dan berakhir semalam telah dihadiri oleh ahli-ahli PBSM dari lima cabangnya iaitu PBSM Sibu, Miri, Sarikei, Sri Aman dan Stampin.

Kursus yang agak berlainan cara pengendaliannya itu telah dikelolakan oleh Dr Jeyathesan Kulaisigam.

Hadir sama Pengerusi Komuniti Kecil Pengurusan Bencana PBSM Sarawak Loi Pui Ann dan Pegawai Publisiti PBSM Cabang Sibu, Hii Sieh Toh.

Menurut Chua, projek Latihan Persediaan Bencana Berasaskan Masyarakat itu harus diberi penekanan serius pada masa akan datang.

“Ini merupakan satu projek baharu PBSM Cawangan Sarawak untuk mendedahkan ahli-ahli dari cabang-cabang PBSM seluruh negeri mengenai kepentingan kursus itu.

“Saya berharap dalam masa terdekat, PBSM Sarawak dapat menganjurkan program seumpamanya, tetapi kali ini dibuat di kawasan lain seperti Miri, Kuching dan bandar lain untuk menggalakkan lebih ramai ahli-ahli PBSM untuk mendapat Latihan Persediaan Bencana Berasaskan Masyarakat,” katanya.