PKR tubuh sayap Wanita PKR Bintulu

0

TERUSKAN PERJUANGAN PARTI: Jennifer Rabiah (duduk tengah) merakam kenangan bersama ahli sayap Wanita PKR Bintulu yang lain sejurus selesai sesi pemilihan ahli.

BINTULU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Bintulu telah menubuhkan sayap Wanita PKR Bintulu pada 15 September lalu bagi mengukuhkan lagi pergerakan parti berkenaan di Bintulu terutama ahli wanitanya.

Dalam pemilihan bagi sayap wanitanya, jawatan Pengerusi disandang oleh Jennifer Rabiah, Timbalan Pengerusi (Lousia Malaysia), Naib Pengerusi (Adrian Sudang dan Morrielyne Jupitter), Setiausaha (Muliana Mathew), Bendahari (Ety Yak Mod), Ahli Jawatankuasa Publisiti (Nancy Medan) manakala empat ahli AJK yang lain ialah Mary Inchon Chayak, Pearl Panau Chupong, Roslina Bunga dan Ng Nang Swee Lang.

Ketua Publisitinya, Kennedy Paing berkata penubuhan sayap wanita ini akan membantu dalam memperkasakan lagi pergerakan wanita parti berkenaan di bahagian ini terutama ahli-ahli wanita yang baharu menyertainya.

Katanya, walaupun baharu sahaja ditubuhkan ia akan berdiri kukuh di belakang PKR dan usaha-usaha susulan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat ini bagi mengaktifkan pergerakan berkenaan sekali gus membentuk sayap wanita yang mempunyai kredibiliti tinggi serta bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan agenda parti.

Bercakap mengenai tugas serta matlamat sayap wanita parti, Keneddy menaruh keyakinan bahawa ahli wanita parti mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik memandangkan kesemuanya mempunyai kelebihan dalam mengurus serta merancang program yang dapat memberi manfaat kepada anggota parti.