Site Last Updated 4:56 pm, Tuesday

Sejarah penempatan awal Sarawak dibukukan

by Patricia Gari. Posted on September 20, 2012, Thursday

UNTUK KETAMADUNAN BANGSA: Daresah (kiri) dan Pengarah Arkib Negara Malaysia Cawangan Sarawak Norsuriaty Awang Hassim bergambar bersama poster Polemik Sejarah Malaysia Sesi Ke-27 pada majlis perasmiannya di Kuching, semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Arkib Negara Malaysia akan membukukan tiga hasil kajian mengenai sejarah penempatan awal di Sarawak iaitu bagi tempoh 1400 hingga 1840 Masihi (M) selepas ia dibentang dan dibahaskan pada Sesi Polemik Sejarah Malaysia Sesi Ke-27 di sini semalam.

Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Daresah Ismail berkata pembukuan hasil-hasil kajian  itu penting untuk memudahkan penyelidik-penyelidik membuat kajian lanjut terhadap fakta yang dibincangkan pada masa akan datang.

“Kertas kerja atau hasil–hasil kajian fakta sejarah ini akan dibentangkan oleh pengkaji, seterusnya dibahas dan dipersoalkan sehingga kesahihan maklumat atau fakta diterima semua.

“Seterusnya ia akan dibukukan sebagai bahan rujukan kepada pengkaji-pengkaji fakta pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Polemik Sejarah Malaysia Sesi Ke-27 bertema, ‘Petempatan Di Sarawak 1400-1840 M’, di Pusat Penerangan Islam.

Pada sesi itu tiga kertas kerja (kajian) dibentangkan iaitu ‘Satu Perspektif Fakta Sejarah Sarawak Pada Era 1400-1840 M’ oleh Profesor Madya Dr Bilcher Bala daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), ‘Sejarah Awal Migrasi Kaum Iban Ke Sarawak’ oleh Profesor Madya Dr Neilson Ilan Mersat (Universiti Malaysia Sarawak) dan ‘Menjejaki Migrasi dan Petempatan Masyarakat Bidayuh dari Tahun 1400-1840M’ oleh Bidah Ugong .

Beliau menambah, penganjuran sesi polemik berkenaan bertujuan melengkapkan sejarah negara yang maklumatnya tidak banyak dalam simpanan Arkib Negara.

“Pagi ini adalah sesi polemik yang ke-27 sejak diadakan pada 1994, polemik ini lebih kepada pembentangan oleh penyelidik sejarah yang melakukan kajian dan hasil kajian itu mereka bentangkan untuk dimaklumkan kepada orang ramai seterusnya diterima atau sebaliknya.

“Ia akan dibahaskan dan dipersoalkan sehingga kesahihan maklumat dan fakta diterima oleh semua,” jelasnya sambil menambah sesi sama akan diadakan di Kuala Lumpur pada November ini.

Beliau berkata pihaknya sentiasa  menggalakkan bukan sahaja pelajar, orang ramai yang berminat tentang sejarah hadir mendengar pembentangan hasil kajian sejarah dan pada masa sama  boleh mengemukakan pertanyaan atau mendapatkan maklumat lebih jelas daripada pengkaji atau ahli panel. Sementara itu dalam ucapan perasmiannya Daresah berkata penemuan fakta baharu dalam kajian sejarah Malaysia perlu diketengahkan supaya kebenaran dapat ditegakkan dan sejarah negara diletakkan di landasan sewajarnya.

Kajian dan penilaian itu katanya mesti dilihat daripada sudut pandang para pengkaji dan sejarawan tempatan supaya sesuatu episod sejarah ditonjolkan daripada perspektif anak watan demi menegakkan keutuhan dan martabat bangsa.

“Menerusi cara ini, masyarakat akan memperoleh gambaran dan persepsi yang lebih seimbang di samping dapat meningkatkan imej serta kewibawaan bangsa di dalam dan luar negara.

“Inilah falsafah di sebalik penganjuran Majlis Polemik Sejarah ini,” ujarnya.

Sehingga kini, katanya sebanyak 65 kertas kerja telah diterbitkan melalui dua siri terbitan iaitu Polemik Sejarah Malaysia (Jilid 1) pada 2008 dan Polemik Sejarah Malaysia (Jilid 2) pada 2009.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.