Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - 256 projek walkabout bernilai RM229.77j siap

256 projek walkabout bernilai RM229.77j siap

Posted on September 21, 2012, Friday

KUCHING: Projek walkabout yang telah siap dilaksanakan di Sarawak kini berjumlah 256 dengan nilai RM229.77 juta, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas UggahEmbas.

Beliau yang merupakan menteri bertanggungjawab memastikan pelaksanaan projek-projek dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat 19 September, projek masih dalam pelaksanaan ialah 58 bernilai RM1.85 bilion.

Pada sidang media di Kota Samarahan dekat sini semalam,beliau turut berkata 28 projek belum bermula dengan nilai RM236.2 juta.

“Saya percaya kebanyakan projek akan dapat kita laksanakan menjelang hujung tahun ini (tetapi) mungkin dua projek oleh Kementerian Pelajaran (pembinaan sekolah) belum dapat dilaksanakan kerana masalah tanah dan menunggu reka bentuk siap,” katanya.

Beliau yang sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Projek-projek Walkabout berkata, jumlah projek dijanjikan Najib dan Muhyiddin sejak Februari 2010 di Sarawak ialah 342 dengan membabitkan nilai RM2.31 bilion.

Uggah menegaskan, projek yang belum dilaksanakan dan belum siap bukan berpunca daripada ketiadaan peruntukan kewangan tetapi di-sebabkan pelbagai masalah.

Katanya, sebagai contoh, projek Jalan Lapok terhalang kerana masalah pemindahan tiang-tiang elektrik, selain ketidakpuasan hati pemilik tanah terhadap pampasan.

Manakala, projek pembinaan dewan di Engkilili terbantut kerana kontraktor berhadapan masalah.

Bagaimanapun, beliau berkata, masalah yang berpunca daripada kontraktor adalah kes terpencil dan tiada syarikat terbabit dalam pelaksanaan projek-projek walkabout ditamatkan kontrak setakat ini.

“Tetapi apabila tiba masanya dan tidak ada pilihan, kita kena tamatkan kontrak mereka kerana kita tidak mahu projek terbengkalai terlalu lama,” ujarnya.

Uggah berkata lagi, jawatankuasa tersebut mengadakan mesyuarat sekerap mungkin bagi memastikan projek-projek yang dijanjikan dapat dilaksanakan demi manfaat rakyat.

Pada 20 Julai lepas, projek yang telah disiapkan ialah 253 buah dengan nilai RM229.12 juta, masih dalam pelaksanaan 56 buah (RM1.84 bilion) dan belum bermula 33 buah (RM235.20 juta).

“Apabila Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri meluluskan projek ia bertujuan memberi manfaat kepada rakyat dengan harapan projek dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Print Friendly

Advertisement

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.