Pasar Komuniti Stutong dirasmi pada 1 Oktober

0

BERJALAN AMAL: James (dua kanan) melepaskan peserta yang menyertai Berjalan Amal Bersama Happy.

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) semalam mengumumkan pembukaan rasmi Pasar Komuniti Stutong yang akan diadakan pada 1 Oktober depan.

Menurut Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dijangka menyempurnakan majlis tersebut.

“Kami menjemput sesiapa sahaja untuk menyertai kami pada hari itu nanti kerana pelbagai aktiviti telah dirangka,” katanya kepada pemberita selepas Berjalan Amal Bersama Happy yang dianjurkan Lian Hua Seng Sdn Bhd di sini, semalam.

Beliau berkata salah satu program yang diadakan sempena pembukaan tersebut merangkumi Ramah-tamah Bersama MBKS yang merupakan budaya majlis.

“MBKS bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kepada rakyat tetapi juga mewujudkan perasaan kemasyarakatan di kalangan masyarakat di kawasan ini,” ujarnya.

Sementara itu, lebih 1,000 peserta menyertai Berjalan Amal Bersama Happy dengan jarak 2.5 km yang bermula kira-kira jam 8 pagi.

Semasa berucap semalam, pengerusi penganjur Alex Lee berkata, acara tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lian Hua Seng untuk mengutip dana untuk membantu golongan kurang memerlukan.

“Untuk setiap yuran penyertaan, Lian Hua Seng akan menambah 100 peratus jumlahnya (yuran penyertaan) dan dana yang dikumpul sepanjang acara akan disalurkan kepada Persatuan Kurang Upaya Sarawak,” jelasnya yang juga pengurus pemasaran dan jualan Lian Hua Seng.