250 tuai rumah tolak Larry Sng bertanding di Lubok Antu

0

ENGKILILI: Seramai  250 tuai rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili sebulat suara menolak calon Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng bertanding di kawasan Parlimen Lubok Antu  pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sehubungan itu mereka bertekad akan berjuang habis-habisan memastikan calon Barisan Nasional (BN) William Nyalau Badak menang besar sekiranya diberi kepercayaan mengibarkan bendera BN pada PRU13 nanti.

Mereka bukan sahaja enggan menerima Larry yang bukan anak jati orang Lubok Antu malah tidak mahu sama sekali kawasan pilihan raya Lubok Antu dijadikan bahan ‘perjudian’ SWP pada pilihan raya nanti.

Pengerusi Persatuan Tuai-tuai Rumah DUN Engkilili Kaunselor Roy Edward Entalai yang mewakili 250 tuai rumah itu menasihati pengundi-pengundi di kawasan Lubok Antu terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili agar bersatu menentang Larry sekiranya dia hendak mencuba nasib bertanding menentang Nyalau di Parlimen Lubok Antu nanti.

Beliau berkata, sebelum ini selama tiga penggal DUN Engkilili  dipimpin wakil rakyat Toh Heng San dari Song dan kali ini Larry dari Kapit yang ingin mencuba nasib di sini.

Menurutnya, pengundi di sini harus menolak Larry yang bukan berasal dari Lubok Antu.

“Kami bukan takut dengan Larry yang berbangsa Cina itu tetapi enggan orang luar menjadi wakil rakyat kami di sini, biarlah anak jati kami di sini menjadi wakil rakyat kami.

“Cukuplah kami alami di DUN Engkilili yang menyokong bekas wakil rakyat Toh dari Song sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai Mesyuarat Agung Persatuan Tuai-tuai Rumah N28 Engkilili 2012 di sini, semalam.

Mesyuarat itu dirasmikan Nyalau sambil diiringi Ahli DUN Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Entalai yang menang tanpa bertanding pada mesyuarat itu memberitahu bahawa pengundi Parlimen Lubok Antu ingin sekali melihat anak jati dari Lubok Antu yang menjadi wakil rakyat BN mewakili mereka.

Tambahan pula Larry mewakili parti SWP yang menentang kerajaan BN dan sudah pasti Larry tidak akan diterima sama sekali oleh mereka nanti, ujarnya.

“Kami di sini fobia sama sekali apabila melihat calon luar bertanding di kawasan kami, tambahan pula Larry orang luar dan pembangkang pula dan sudah pasti kami akan menolaknya,” tegasnya.

Entalai yang juga merupakan penolong bendahari Cawangan Engkilili berkata, mereka akan menyokong Nyalau nanti berikutan dia  bukan sahaja amat bekerjsama dengan Dr Rayong malah seorang yang rajin menjenguk rakyat di Lubok Antu.

“Walaupun Nyalau baharu sepenggal menjadi wakil rakyat kami di sini tetapi banyak pembangunan mega dilaksanakan sama ada di DUN Engkilili mahupun DUN Batang Ai ketika ini,” ujar beliau.

Larry yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus adalah berasal Kapit.

Sebelum ini Larry berhasrat hendak bertanding menentang Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun di Selangau.

Tetapi hari ini sudah tidak kedengaran lagi apabila dikhabarkan mendapat sambutan dingin daripada kalangan pengundi di Selangau.