Ditimpa batu sebesar kereta

0

Lelaki maut selepas menceroboh kawasan larangan untuk mencari emas di Bau

MISI SUKAR: Beberapa anggota bomba sedang memeriksa keadaan di kawasan dipercayai pintu masuk terowong dalam usaha mengeluarkan mayat mangsa di Gunung Tabai, Bau semalam.

BAU: Seorang lelaki maut selepas dihempap batu sebesar sebuah kereta ketika menceroboh kawasan larangan semata-mata untuk mencari emas di Gunung Tabai, Jalan Taiton di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Lee Sze Chun, 33, bersama sembilan rakannya dipercayai memasuki kawasan larangan itu sekitar jam 11 malam kelmarin sebelum kejadian berlaku di antara jam 2 pagi dan 3 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Mohd Sabri Zainol yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, pihaknya hanya menerima laporan sekitar jam 5.30 pagi.

Menurutnya, mayat mangsa berjaya dikesan di lokasi kira-kira 25 kaki dari pintu masuk terowong di kawasan itu, namun sukar dibawa keluar oleh pasukan mencari dan menyelamat berikutan keadaan di dalam terowong yang berbahaya.

“Kita berjaya menjumpai mayat mangsa sejurus operasi dimulakan, namun keadaan terowong serta saiz batu tersebut yang sebesar sebuah Perodua Kancil menyukarkan kita untuk membawa keluar mayat mangsa dari tempat kejadian.

“Disebabkan itu, selain Jabatan Bomba dan Penyelamat serta RELA, kita juga Baumeminta bantuan penduduk tempatan yang dipercayai lebih arif mengenai keadaan di dalam terowong tersebut untuk mengeluarkan mayat mangsa,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian tersebut semalam.

Menurut Sabri, usaha untuk mengeluarkan mayat mangsa diteruskan sehingga lewat petang semalam, namun masih gagal dikeluarkan sehingga berita ini ditulis semalam.

“Setakat ini, mayat mangsa masih belum berjaya dikeluarkan di mana anggota penyelamat masih berusaha untuk memahat batu yang telah menghempap mangsa,” katanya.

Mangsa yang berasal dari Taman Desa Wira, Kuching dikatakan mula menetap di sini baru-baru ini.

Selain itu, Sabri turut memberitahu insiden seumpama itu merupakan kali ketiga berlaku di lokasi yang sama di mana empat telah dilaporkan terkorban setakat ini.

Menurut beliau, insiden pertama dilaporkan berlaku pada Mac 2011, diikuti insiden kedua iaitu pada bulan Julai tahun yang sama.

“Diharapkan masyarakat lepas ini akan lebih menitikberatkan keselamatan mereka terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk memasuki kawasan larangan tersebut.

“Lagipun ada lebih banyak pekerjaan lain yang boleh memberikan pendapatan kepada kita daripada menggadaikan nyawa,” katanya.