Infrastruktur dijangka akan berkembang

0

Kegiatan ekonomi lebih rancak di BIMP-EAGA dijangka rangsang pembangunannya

UNTUK KENANGAN: Kong menyampaikan cenderamata kepada Taib sebagai tanda penghargaan merasmikan Majlis Makan Malam Alu-aluan sempena Mesyuarat Menteri Pengangkutan BIMP-EAGA Ke-7, malam Selasa. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kegiatan ekonomi yang lebih rancak di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina(BIMP-EAGA) dijangka mampu merangsang pembangunan infrastruktur, terutama pengangkutan yang amat diperlukan di rantau tersebut.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pengangkutan yang memainkan peranan penting untuk melancarkan kegiatan ekonomi di rantau itu merupakan komponen lebih sukar dibangunkan memandangkan BIMP-EAGA merupakan kawasan yang begitu luas.

“Laluan udara antara rantau BIMP-EAGA dijangka dapat dipertingkatkan dalam jangka masa lima tahun, tetapi laluan darat akan mengambil masa yang agak lama.

“Bagaimanapun, kegiatan ekonomi khasnya dalam pasaran sama sekiranya terus dimantapkan akan mendatangkan permintaan lebih besar terhadap pembangunan infrastruktur dan pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Alu-aluan sempena Mesyuarat Menteri Pengangkutan BIMP-EAGA Ke-7, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.

Taib yang menjadikan hubungan perniagaan yang baik antara Kalimantan Barat dan Sarawak sebagai contoh, memberitahu bahawa pembangunan pengangkutan kargo di Borneo akan terus mewujudkan persefahaman untuk memperbaiki pengangkutan di dua kawasan tersebut.

Beliau turut percaya Brunei, Malaysia dan Filipina boleh menjalankan perkongsian strategik khasnya dari segi industri pelancongan.

Sementara itu, Kong dalam ucapannya memberitahu, kementeriannya amat komited untuk memperbaiki sektor pengangkutan dan laluan dalam negeri serta di rantau BIMP EAGA sama ada hubungan udara, laut mahupun darat.

Beliau turut memuji usaha yang diambil oleh MASwings yang mengembangkan laluannya di rantau BIMP-EAGA, sambil memberitahu syarikat penerbangan itu akan memperluaskan laluannya dalam masa terdekat.

“Penambahbaikan sistem pengangkutan secara bersepadu BIMP amat penting dalam pembangunan sosioekonomi BIMP-EAGA,” katanya.