Site Last Updated 12:47 am, Saturday

Instrumen bersepadu nilai kompetensi Pegawai Pendidikan

Posted on September 27, 2012, Thursday

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedang membangunkan ‘1Unified Instrument’ atau instrumen bersepadu untuk menilai tahap kompetensi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di seluruh negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata berdasarkan penilaian itu, pegawai yang dikenal pasti tidak mencapai tahap kompetensi ditetapkan akan diberi latihan melalui modul latihan bersesuaian, mengikut tahap kompetensi mereka.

“Dalam konteks ini, tenaga kepakaran di institut pendidikan guru, Institut Aminuddin Baki, Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris dan bahagian-bahagian tertentu di Kementerian Pelajaran akan digembeleng dan digerakkan sebagai jurulatih utama untuk melaksanakan latihan peningkatan profesionalisme, diterajui sepenuhnya oleh Bahagian Pendidikan Guru,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata seiring dengan itu juga peranan semua organisasi di kementerian tersebut termasuk jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajar daerah akan diperkasa dari segi struktur dan fungsi.

Katanya usaha itu akan dilaksana segera dan beliau sendiri akan m emantau pelaksanaannya menerusi Pasukan Petugas Implementasi yang dianggotai wakil beberapa agensi kerajaan dan swasta.

Pasukan itu juga bertanggungjawab sepenuhnya dalam memantau dan menilai pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, kata Muhyiddin.

Pada 11 Sept lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Bagi memastikan pelan itu benar-benar memenuhi kehendak rakyat, Muhyiddin berkata mereka berpeluang memberi pandangan mengenainya melalui program hari terbuka di enam zon di seluruh negara dari 6 hingga 20 Okt ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran juga menubuhkan Unit Penyampaian Pendidikan yang berperanan memacu penyampaian pelan itu, memantau kemajuan pelaksanaannya, menyelesaikan isu berbangkit, menyediakan maklum balas secara berterusan dan menguruskan komunikasi untuk pihak yang berkepentingan.

“Untuk memastikan unit ini dapat memainkan peranannya dengan baik dan berkesan, pegawai yang akan ditempatkan di unit itu akan dipastikan terdiridaripada mereka yang mempunyai bakat terbaik dan kompetensi tinggi sama ada dari sektor awam dan swasta,” kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun dalam tempoh 60 tahun sistem pendidikan negara telah menunjukkan perubahan dari segi akses, kualiti dan ekuiti, pihak terlibat tidak boleh berpuas hati dengan apa yang telah dicapai.

“Oleh itu, kerajaan akan terus melaksanakan penambahbaikan kepada sistem pendidikan bagi memastikan akses, kualiti, ekuiti, kecekapan penyampaian dan pendemokrasian pendidikan sentiasa ditingkatkan,” katanya.

Kata beliau, Kementerian Pelajaran sedar bahawa sistem pendidikan ketika ini lebih kepada menyediakan murid yang memiliki keupayaan literasi dan numerasiserta menguasai pengetahuan dan kemahiran.

Bagaimanapun kata beliau, transformasi yang akan dilaksana bakal memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan yang memiliki kemahiran untuk berfikir secara kreatif dan inovatif, kemahiran menyelesaikan masalah selain berupaya memacu pembelajaran sendiri.

Mengulas lanjut mengenai pelan pembangunan pendidikan negara, Muhyiddin berkata kementerian juga menyediakan platform untuk membolehkan rakyat memberimaklum balas secara terbuka, bertulis dan dalam talian sebelum pelan dimuktamaddan dibentang kepada Jemaah Menteri pada Disember.

Sehingga kini, 50 maklum balas telah diterima daripada pelbagai pihak.

Katanya sesi perbincangan meja bulat bersama badan atau entiti berkepentingan juga akan diadakan seiring dengan hari terbuka bersama masyarakat.

Pada pembentangan Belanjawan 2013 Jumaat ini, Muhyiddin berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi perhatian khusus kepada sektor pendidikan supaya transformasi pendidikan dapat dilaksana seperti yang dirancang. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.