Kerajaan diseru timbang penurunan kadar cukai tayar

0

KUCHING: Usaha kerajaan dalam menguatkuasakan penggunaan tayar pneumatik yang mematuhi spesifikasi keselamatan dan menghentikan penggunaan tayar toreh untuk kenderaan di negara ini mungkin berhasil jika kadar cukai yang dikenakan kepada para pengedar tayar dikurangkan.

Buat masa sekarang, akibat kadar cukai tinggi, harga pasaran tayar pneumatik yang telah lulus pengujian atau pensijilan adalah amat tinggi sehingga membebankan pengguna dan mengundang pemilihan tayar toreh.

Demikian jelas beberapa persatuan pengedar kenderaan dan tayar berhubung harga pasaran tayar pneumatik yang tinggi, sekali gus menyuarakan harapan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai pembekalan tersebut demi kebaikan pengguna.

“Cukai yang dikenakan kepada tayar sama ada import atau buatan tempatan amat tinggi dan sebab itu harga pasaran tayar adalah tinggi.

“Keadaan ini amat membebankan pengguna dan pihak kami berharap agar kerajaan dapat menurunkan kadar cukai yang dikenakan ini,” kata Naib Presiden Persatuan Pembekal Skuter dan Motosikal Malaysia Temenggung Lu Kim Yong.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media sempena Seminar Jelajah Pematuhan Perintah Penandaan Bagi Tayar Pneumatik dan Topi Keledar anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini, malam kelmarin. Hadir sama Pengarah KPDNKK Negeri Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Presiden Persatuan Penjual dan Peniaga Tayar Sarawak Lau Mong Hong dan Pengerusi Persatuan Peniaga Motosikal dan Basikal Kuching Lau Soon Yiun.

Terdahulu, Uzir berkata kerajaan menerusi KPDNKK pada 1 September lalu telah menguatkuasakan perintah berhubung standard keselamatan mandatori bagi tayar pneumatik dan topi keledar motosikal di pasaran.

Ia merupakan Perintah Perihal Dagangan (Penandaan bagi Taya r Pneuma t ik) 2012 dan Perintah Perihal Dagangan(Penandaan bagi TopiKeledar Motosikal) 2012.

Sehubungan itu, pihak industri (pengilang, pengimport, pengedar dan peruncit) perlu memastikan tayar pneumatik dan topi keledar motosikal mematuhi spesifikasi standard keselamatan yang telah ditetapkan seperti di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu, pihak industri berkaitan juga harus memastikan tayar pneumatik dan topi keledar motosikal yang dibekalkan di pasaran telah lulus pengujian atau pensijilan seperti mana kaedah yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan dan membuat penandaan sewajarnya berdasarkan kaedah yang telah ditentukan di dalam spesifikasi standard berkaitan.

Menurut Uzir, penggunaan tayar dan topi keledar yang tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan kerajaan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan KPDNKK.

“Misalnya, JPJ akan mengenakan tindakan terhadap individu yang memakai topi keledar yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan dengan kompaun RM300 dan jika tidak membayarnya, dia akan dihadapkan ke mahkamah.

“Manakala bagi peniaga yang menjual tayar atau topi keledar yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Perintah Perihal Dagangan KPDNKK dengan denda RM100,000 untuk individu, RM200,000 untuk syarikat dan tiga tahun penjara,” jelasnya.