Persidangan KL tingkatkan kerjasama perangi rasuah

0

Pertingkat usaha antarabangsa perangi rasuah: Kassim

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah persidangan terbesar agensi pencegahan rasuah dari seluruh dunia tahun ini pada bulan depan yang bertujuan meningkatkan usaha memerangi rasuah merentasi sempadan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed semalam berkata persidangan dan mesyuarat agung tahunan Persatuan Pihak Berkuasa Antirasuah Antarabangsa (IAACA) keenam dari 4 hingga 7 Okt akan memberi fokus terhadap bantuan teknikal dan pertukaran maklumat.

Katanya dua topik itu adalah bidang yang amat penting dalam membina keupayaan semua agensi penguatkuasaan undang-undang dalam memerangi rasuah.

“Sepanjang hampir 30 tahun penglibatan saya dalam memerangi rasuah, saya boleh katakan bahawa pola rasuah telah berubah dengan amat ketara. Sebelum ini, rasuah hanya bersifat domestik, setempat dan bentuk bayaran rasuah pula amat mudah, sama ada dalam bentuk tunai atau suapan yang boleh dikesan dan dikenal pasti dengan mudah.

“Hari ini, ia melampaui semua itu berikutan kemajuan teknologi dan sebagainya. Unsur rentas sempadan sudah menjadi perkara biasa hari ini dan atas sebab inilah, bantuan teknikal dan pertukaran maklumat menjadi amat penting dan benar-benar diperlukan hari ini,” katanya.

Abu Kassim, yang juga anggota lembaga eksekutif IAACA, berkata oleh kerana kini rasuah amat berkait rapat dengan pengubahan wang haram dan jenayah antarabangsa, maka agensi antirasuah tidak boleh lagi bekerja secara bersendirian atau dalam kepompong sendiri semata-mata.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan persidangan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Ia akan dihadiri lebih 1,000 pegawai pencegah rasuah, termasuk kira-kira 500 orang dari lebih 100 negara.

Abu Kassim berkata di sesetengah negara, termasuk Malaysia, tumpuan diberi terhadap usaha menjejaki aset dan memerangi rasuah dalam sektor awam, yang kini menjadi semakin penting berikutan langkah kerajaan melakukan transformsi ekonomi dan menjadikan sektor swasta sebagai penggerak utama pembangunan ekonomi.

“Oleh itu, persidangan ini boleh membantu Malaysia mengenal pasti cara terbaik yang diamalkan negara lain untuk menangani isu rasuah dalam sektor swasta dan membincangkan undang-undang baharu seperti Akta Antirasuah 2010 UK serta melihat pengalaman negara lain, terutama Hong Kong, dalam memerangi rasuah melibatkan sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata kerjasama antarabangsa dalam memerangi rasuah sentiasa berdepan dengan masalah kerana ada kalanya, sesebuah negara mungkin mendapatcapaian mudah serta kerjasama dengan sesetengah negara, tetapi mungkinmenghadapi kerumitan dengan negara lain, terutama apabila melibatkan usaha menjejaki aset melalui institusi kewangan.

Walaupun Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), yang ditandatangani banyak negara, bertujuan memudahkan kerjasama demikian, tetapisetiap negara tetap mempunyai birokrasi masing-masing.

“Bagaimanapun, perubahan sedang berlaku. Kami harap anggota perwakilan akan meningkatkan perkongsian maklumat antara organisasi dan meluaskan rangkaian untuk memudahkan tugas kami,” katanya.

Mengenai pola rasuah di Malaysia, Abu Kassim berkata berikutan pertumbuhan ekonomi negara, usaha memerangi wabak ini menjadi semakin rumit, terutama apabila ia melibatkan pemerolehan besar dan sektor swasta.

Ini menuntut para pegawai melakukan lebih banyak tugas risikan dan sejajar dengan itu, kini SPRM memiliki kepakaran dalam bidang perakaunan kewangan dan forensik.

Antara mereka yang akan berucap pada persidangan ini ialah Presiden European Partners Against Corruption (EPAC) Martin Kreutner dari Austria, Ketua Pengarah Pejabat Antipenipuan Eropah (OLAF) Givanni Kessler, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan beberapa pegawai Interpol. — Bernama