Rangkaian pengangkutan di BIMP-EAGA akan diperkukuh

0

KUCHING: Rangkaian pengangkutan di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) akan diperkukuhkan hasil komitmen bersama yang dicapai menerusi Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan BIMP-EAGA Ke-7 di sini, semalam.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, mesyuarat itu antara lain membincangkan hala tuju pengangkutan di bawah BIMP-EAGA bagi jangka masa sekarang hingga tahun 2016.

“Kesemuanya adalah untuk memperkukuhkan rangkaian pengangkutan darat, laut dan udara di rantau BIMP-EAGA termasuk Sabah dan Sarawak.

“Hasil pembentangan (mesyuarat), kita melihat potensi yang amat baik dalam rangkaian pengangkutan di rantau berkaitan pada tahun-tahun mendatang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini, semalam.

Kong menjelaskan, BIMPEAGA selama ini mengalami rangkaian pengangkutan mapan dan pertumbuhan ekonomi hebat, yang mana telah menarik banyak pelaburan serta pelancongan.

Mesyuarat itu turut mengiktiraf operasi pengangkutan udara di rantau BIMP-EAGA yang kini bukan sahaja dilaksanakan penerbangan MASwings, tetapi juga beberapa penerbangan rakan serantau.

“Kami juga maklum penerbangan carter yang dikendalikan Wings Air of Indonesia di laluan antara Manado, Indonesia dan Davao, Filipina.

“Kami amat menghargai operasi mapan dan berterusan syarikat penerbangan perintis seperti Kalstar, Batavia Air dan MASwings untuk berkhidmat di laluan BIMP-EAGA dan menyokong mereka untuk membangunkan rantau terbabit,” tegasnya.

Selain perhubungan udara, mesyuarat turut menyentuh tentang memperluaskan operasi pengangkutan laut dan pengangkutan darat di laluan BIMP-EAGA.

Misalnya, kata Kong, kementerian menggalakkan pelaksanaan penambahbaikan perkhidmatan bas di Sabah dan Sarawak bersama Brunei dan Indonesia.

Selain itu, katanya, BIMPEAGA harus mewujudkan kluster bagi industri makanan dan pengangkutan yang akan memperkukuhkan perkhidmatan pengangkutan.

“Ini juga akan memperluaskan pembangunan pelancongan dan produk industri asas tani di rantau ini selain menjadikan negara sebagai pengeluar makanan utama,” katanya.

Beliau menjelaskan peningkatan kemudahan infrastruktur pasti akan menyumbang kepada sistem pengangkutan darat, laut dan udara di kalangan negara anggota EAGA.

Hadir sama, Menteri Perhubungan Brunei Darussalam Pehin Dato Abdullah Bakar, Timbalan Menteri Pengangkutan Republik Indonesia Bambang Susantono dan Penolong Setiausaha Jabatan Pengangkutan dan Perhubungan Filipina Dante Lantin.