RM1.971b dibelanja untuk pembangunan

0

MUSA (tengah) pada sidang media itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan membelanjakan sebanyak RM1.971 bilion atau 45.1 peratus daripada peruntukan 2012 sehingga 21 September ini bagi membiayai projek pembangunan yang dilaksanakan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, di bawah Pelan Pusingan kedua RMK-10, negeri ini diberikan peruntukan sejumlah RM4.376 bilion bagi tahun 2012 untuk melaksanakan sebanyak 743 projek.

“Bagi menjayakan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa ke-2 (GTP 2.0), kita perlu melaksanakan enam prinsip transformasi sektor awam iaitu ‘Cepat, Tepat dan Berintergriti (CTI), produktiviti, kreativiti dan innovasi (PCI).

“CTI menuntut pelaksanaan tugas dengan cepat, segera dan tepat tanpa mengetepikan integriti, manakala PCI pula memberikan penekanan kepada produktiviti dan outcome dalam tindakan dan hasil kerja.

“Warga negara perkhidmatan awam juga perlu kreatif dan berinovatif dengan fikiran dan minda yang lebih berdaya saing serta sentiasa mencari idea baru menerusi Strategi Lautan Biru,” katanya kepada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Sabah, di sini kelmarin.

Beliau turut menyeru agar ketua-ketua jabatan terus turun padang dan melihat dengan lebih dekat mengenai pelaksanaan projek dan pembangunan.

“Semua setiausaha tetap, pengarah dan ketua jabatan disarankan agar lebih responsif menekankan pengurusan bercirikan turun padang dengan pegawai dan kakitangan masing-masing,” katanya.

Musa berkata, pendekatan merakyatkan perkhidmatan awam amat penting untuk meningkatkan kecekapan.

“Dalam hal ini, warga perkhidmatan awam perlu menilai sumbangan masing-masing kepada rakyat selama ini yang menjadi pelanggan dengan pendekatan lebih mesra dan bersifat membantu,” tambahnya.