SESB ‘gelapkan’ kawasan setinggan

0

Penyambungan elektrik haram dikesan membabitkan lebih 500 rumah

KOTA KINABALU: Lebih lima kawasan setinggan melibatkan 500 buah rumah ‘terpaksa’ bergelap setelah bekalan elektrik yang diperoleh menerusi penyambungan haram dilumpuhkan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam satu serbuan kelmarin.

Antara kawasan terlibat dalam operasi itu adalah tiga di kawasan Likas iaitu Kampung Delima, Kampung Suang Parai dan Kampung Pulau Penampang manakala dua lagi di Kampung Lokub dan Kampung Padas yang terletak di kawasan Tebobon dekat sini.

Ketika serbuan dilakukan, terdapat penduduk kawasan setinggan berkenaan yang rata-ratanya dihuni oleh pendatang tanpa izin (PTI) bertindak menyorok kabel penyambungan elektrik mereka untuk mengelak daripada diketahui pihak SESB.

Bagaimanapun, tindakan pantas daripada SESB berjaya menghalang perbuatan tidak bertanggungjawab itu serta melaksanakan pemotongan dan seterusnya merampas wayar yang digunakan untuk penyambungan haram itu.

Malah operasi yang bermula pada jam 9.30 pagi hingga 3 petang itu turut menyaksikan terdapat penyambungan haram tersembunyi di dalam hutan, merentasi sungai, di tanam di dalam tanah dan wayar disimenkan di atas aspal jalan raya.

Operasi terbabit melibatkan lebih 20 anggota yang terdiri daripada Kendalian Pembahagian Kota Kinabalu (KPKK) SESB kawasan Kota Kinabalu, Polis Bantuan SESB dan kontraktor SESB.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Ahmad Fuad Md Kasim berkata operasi terbabit menumpukan sasaran penyambungan haram itu adalah bahagian pencawangan, tiang dan talian SESB di lokasi-lokasi terbabit.

“Tindakan serta merta telahpun dilakukan untuk memotong dan seterusnya merampas wayar yang digunakan untuk penyambungan haram itu.

“Pihak SESB juga sentiasa memantau dan membuat pemotongan penyambungan haram di kawasan terbabit tetapi perbuatan mencuri bekalan elektrik ini terus berulang.

“Oleh yang demikian, SESB memohon kerjasama daripada orang awam sentiasa memberikan maklumat mengenai sebarang aktiviti penyambungan haram ini di kawasan berkenaan kerana perbuatan ini sangat merbahaya dan menggangu keselamatan dan kesejahteraan awam,” katanya.

Kesalahan mencuri bekalan elektrik merupakan satu perbuatan jenayah mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.