SESB tanggung kerugian RM4.7 juta

0

KOTA KINABALU: Sebanyak RM4.7 juta anggaran kerugian yang ditanggung oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akibat daripada aktiviti sambungan elektrik haram dan juga pengusikan sistem perjangkaan.

Anggaran kerugian berkenaan adalah bagi tahun kewangan 2011/2012 iaitu bermula September 2011 hingga Ogos 2012.

Jumlah itu juga meningkat berbanding RM2.4 juta kerugian direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Ahmad Fuad Md Kasim berkata bagi tempoh itu, sebanyak 175 serbuan dijalankan untuk operasi sambungan haram dengan melibatkan 173 penempatan yang kebanyakannnya adalah kawasan setinggan.

Menurutnya, serbuan itu juga melibatkan sebanyak 4,893 premis dan ia adalah operasi yang berulang yang mana ada premis diserbu lebih dari sekali.

“Jumlah kerugian daripada serbuan itu dianggarkan sebanyak RM1.7 juta merangkumi kawasan Kota Kinabalu, Sandakan, Semporna, Lahad Datu dan Tawau.

“Dalam tempoh yang sama juga, sebanyak 306 operasi untuk pengusikan sistem perjangkaan dilakukan yang mana SESB menanggung kerugian sebanyak RM2.5 juta,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata, bagi operasi terbabit, pihaknya dapat mengenal pasti pengguna melalui rekod pendaftaran dengan SESB dan ia dijalankan tanpa melibatkan pihak Suruhanjaya Tenaga (ST).

Ahmad berkata, ia dilaksanakan mengikut Seksyen 38 Akta Bekalan Elektrik 1990, yang mana SESB berhak menuntut kerugian hasil daripada pengguna-pengguna yang melakukan kesalahan terbabit.

“Untuk aktiviti yang sama tetapi operasi dijalankan dengan kerjasama ST, sebanyak 17 kes dikenal pasti dan melibatkan kerugian sebanyak RM489,217.

“SESB dan ST menjalankan kerjasama untuk membuat operasi setiap tiga bulan sekali. Serbuan akan diketuai oleh pihak ST bagi menguatkuasakan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Dengan itu, pihak ST akan membuat pendakwaan dan mereka yang disabitkan kesalahan akan didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Selain itu, tambahnya, bagi kegiatan curi peralatan yang digunakan untuk menyalurkan elektrik seperti logam, kabel dan aluminium, sebanyak 32 kejadian dilaporkan.

Beliau berkata, kegiatan curi peralatan itu dianggap semakin serius yang mana dua kes terkini dilaporkan untuk tahun kewangan baru yang bermula September lepas.

“Kita sekarang sedang menyiasat modus operandi mereka dan kawasan yang kerap berlaku serta waktu ia dijalankan.

“Sehubungan itu, kita sentiasa bekerjasama dengan pihak polis untuk terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.