Samarahan pilihan juara

0

UNTUK PBBS: Abdul Karim (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada Haidel sambil diperhatikan oleh Aidel (dua kiri).

KUCHING: Dua puluh lima pemain bola sepak Samarahan bakal menggalas cabaran getir dalam misi menjulang Piala Sarawak 2012 apabila kejohanan berprestij tersebut bermula Isnin depan di Miri.

Pasukan yang dibimbing oleh Awang Jobli Awang Bidin dan dibantu bekas pe­main Sarawak Ideris Untong pastinya mahu mengulangi kejayaan yang pernah dicapai pada 2008.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Haidel Heli berkata pasukannya lebih mantap kali ini dengan dibarisi hampir separuh muka-muka baru yang dipilih dari beberapa bahagian negeri.

“Saya meletakkan harapan yang tinggi terhadap pasukan ini untuk muncul juara Piala Sarawak 2012 dan ia pasti ter­capai sekiranya semua pemain memberikan komitmen serta persembahan yang berkuali­ti,” katanya.

“Kita telah mengharungi banyak latihan intensif serta beberapa siri perlawanan persahabatan untuk meman­tapkan pasukan. Justeru, tidak mustahil Samarahan muncul juara pada edisi kali ini.”

Beliau berkata demikian semasa majlis makan malam bersama pasukan yang turut dihadiri oleh Menteri Muda Pembangunan Belia, Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Sadong Jaya, Aidel Lariwoo, Residen Bahagian Samarahan Ismail Hasni, Kapten Kelab Golf Sarawak (KGS) Abdul Jalil Abdul Rah­man dan Timbalan Presiden PBBS Ismawi Muhammad kelmarin.

Menurutnya lagi, Samara­han adalah pasukan pilihan untuk muncul setelah kehad­iran semula jurulatih Awang Jobli yang pernah membawa pasukan tersebut menjadi juara pada edisi 2008.

Tambahan lagi, beliau dibantu oleh Ideris yang mem­punyai pengalaman luas sema­sa menyarung jersi Sarawak, tambahnya lagi.

Pada majlis yang sama, Ab­dul Karim dan ADUN Muara Tuang Dato Sri Mohammad Ali Mahmud telah memberi sum­bangan berjumlah keseluruhan RM22,000 kepada PBBS.

Samarahan diundi dalam kumpulan C bersama-sama dengan Polis Diraja Malay­sia (PDRM), Sri Aman dan Limbang.

Sebanyak 16 pasukan ter­masuk beberapa pasukan jem­putan mengambil bahagian dalam edisi kali ini.