RTC dan UTC mampu lonjak pendapatan penduduk bandar dan luar bandar

0

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) mempunyai potensi tidak terhad dan rakyat harus menggunakannya untuk meningkatkan pendapatan, baik di bandar mahupun di luar bandar, demikian menurut Laporan Ekonomi 2012/2013.

Laporan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan itu menyatakan  penubuhan RTC dan UTC di bawah Program Transformasi Komuniti (CTP) adalah langkah strategik bagi mengembangkan permintaan untuk produk domestik, terutama produk luar bandar.

Menurut laporan itu, sebagai contoh usahawan di kawasan luar bandar yang terlibat dalam program inap desa dan ekopelancongan boleh memasarkan perkhidmatan mereka secara langsung kepada penduduk bandar dan pelancong di UTC, dan pada masa sama usahawan bandar dapat menambah nilai kepada aktiviti tersebut dengan menyediakan perkhidmatan sokongan seperti pemasaran serta bimbingan perniagaan dan mentor.

Inisiatif utama RTC melibatkan penubuhan kiosk maklumat 1Malaysia, penggalakan nilai tambah pertanian, pemprosesan makanan agro, pengurusan rantaian bekalan hasil pertanian, kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi, perkhidmatan Kesihatan 1Malaysia dan penyediaan kemudahan pembiayaan.

RTC pertama dilancarkan pada 18 Feb 2012 di Gopeng, Perak manakala sebuah lagi di Kota Baharu, Kelantan dilancarkan pada 4 Mei lepas dan beberapa lagi pusat serupa bakal dibuka di Melaka, Kedah, Johor, Sabah serta Sarawak.

Menurut laporan itu, untuk meluaskan liputan perkhidmatan serta peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat, kerajaan telah menubuhkan empat Mini RTC di Perak dan enam di Kelantan.

Hingga akhir Ogos lepas, sejumlah 1,537 peserta telah mendapat manfaat daripada 65 sesi latihan kemahiran dan 4,080 peserta mendapat faedah daripada lapan seminar yang dikendalikan di bawah RTC.

Di samping itu, kira-kira 450 petani mengambil bahagian dalam program ladang kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) manakala 225 produk pertanian  berjaya ditambah baik melalui aktiviti penjenamaan, pembungkusan dan pelabelan.

Selain itu, FAMA juga memberi tumpuan kepada menyediakan peluang kepada masyarakat luar bandar untuk melibatkan diri dalam pengeluaran hasil pertanian khususnya produk tenusu, sarang burung walit dan pembiakan ikan arowana.

Di samping itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) turut menawarkan kursus dan latihan program perbankan, dan hasilnya 1,922 pemilik kedai runcit tempatan mendapat lesen untuk beroperasi sebagai ejen perbankan tanpa cawangan BSN.

Laporan itu juga menyebut melalui latihan dan bantuan yang dijalankan di bawah RTC, kira-kira 280 pengeluar telah memperoleh pensijilan Skim Keselamatan Makanan 1Malaysia (SK1M) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana dalam mematuhi Peraturan-peraturan kebersihan Makanan 2009.

Klinik perubatan bergerak yang ditempatkan di RTC Gopeng dan RTC Kota Baharu pula telah menyediakan perkhidmatan perubatan dan pergigian kepada lebih daripada 2,500 pesakit.

Dalam pada itu, UTC diperkenalkan untuk meningkatkan peluang pekerjaan, menyokong pencapaian pendidikan dan latihan kemahiran serta menyediakan pemilikan rumah mampu milik kepada penduduk bandar.

UTC pertama yang dilancarkan di Melaka pada 23 Jun 2012 hanya mengambil tempoh enam minggu untuk dilaksanakan, sekali gus mencerminkan konsep 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ dan pada 22 Sept lepas sebuah lagi UTC ditlancarkan di Pudu Sentral, di sini.

Menurut laporan itu, satu unit khas ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan kesemua RTC dan UTC serta memastikan hubung kait yang kukuh antara pusat-pusat tersebut bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat. — Bernama