Penjawat awam berhibur hingga larut malam

MENYEDIHKAN: Inilah antara golongan penjawat awam yang sering mengunjungi premis-premis hiburan di Sibu.

Pusat-pusat hiburan menjadi ‘lubuk’ tempat berhibur segelintir penjawat awam di Sibu

SIBU: Pusat-pusat hiburan menjadi ‘lubuk’ tempat berhibur segelintir penjawat awam di sini. Situasi ini sangat menyedihkan kerana kakitangan yang dianggap sebagai kaki pub oleh masyarakat berpotensi mengganggu Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan berasaskan prinsip ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Tabiat buruk ini sudah tentu mengganggu prestasi kerja mereka akibat sering pulang lewat ke rumah hingga larut malam atau dinihari (pagi) dan terpaksa pula bangun awal untuk bekerja pada hari berikutnya atau beberapa jam kemudian.

Tinjauan eksklusif Utusan Borneo pada hujung minggu lalu di beberapa premis hiburan yang sering menjadi ‘lubuk’ kepada golongan terbabit di sini, mendapati golongan inilah yang banyak memenuhi premis-premis hiburan di sini.

Kegiatan penjawat awam suka mengunjungi pusat-pusat hiburan memang sudah lama berlaku dan diperhatikan di sini.

Kesan buruk yang timbul disebabkan kegiatan suka mengunjungi pusat hiburan ialah golongan itu suka berhutang, ponteng kerja, boros, perceraian, kemerosotan prestasi dan produktiviti kerja dan sebagainya.

Namun di sebalik sikap buruk penjawat awam itu, tidak semua daripada golongan itu mengamalkan sikap sedemikian tetapi hanya segelintir sahaja.

Berdasarkan ‘terjah’ Utusan Borneo ke premis-premis hiburan di sini, mendapati golongan yang didapati suka berfoya-foya di pub adalah golongan askar, polis, jururawat, guru dan penjawat awam yang lain dilihat sebagai pelanggan tetap beberapa premis hiburan di sini.

Bukan sahaja pada hujung minggu, golongan terbabit turut didapati mengunjungi pusat hiburan pada hari-hari bekerja.

Menurut seorang pemilik premis hiburan yang hanya ingin dikenali sebagai Sam, golongan terbabit merupakan pelanggan tetapnya.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah daripada golongan penjawat awam yang terdiri daripada para guru, askar, polis, jururawat dan kakitangan awam yang lain. Namun ada juga pelanggan lain datang ke sini misalnya daripada pekerja swasta yang datang daripada golongan berpendapatan sederhana.

“Golongan terbabit (penjawat awam) sering datang ke sini tidak memilih hari sama ada waktu hari biasa atau hujung minggu.

“Ada antara mereka berbelanja besar sehingga mencecah RM1,000 ke atas untuk berhibur semalaman,” ujarnya.

Ditanya kenapa golongan ini sering datang ke premis hiburannya, Sam memberitahu mereka itu hanya mahu ‘happy’ sambil mabuk.

Seorang lagi pemilik premis hiburan di sini yang merupakan salah satu tempat tumpuan, dikenali sebagai Peter G.L menjelaskan bahawa premisnya sering dijadikan oleh golongan terbabit sebagai tempat ‘party’ iaitu sebagai tempat untuk meraikan hari jadi dan sebagainya.

“Ya, golongan penjawat awam merupakan pelanggan tetap premis hiburan saya. Mereka akan berbelanja besar jika datang ke sini.

“Biasanya golongan ini akan berkunjung ke pub saya pada hujung minggu dan tidak kurang juga pada hari biasa.

“Mereka ini datang ke sini semata-mata mahu ‘happy’ mungkin ingin melepaskan tekanan kerja atau sebaliknya. Biasalah golongan ini berpendapatan besar. Suka hati saja keluar duit untuk membeli minuman keras,” ujarnya berseloroh.

Dalam pada itu, salah seorang penjawat awam yang merupakan seorang guru yang mengajar di bahagian pedalaman di sini ketika ditemu bual oleh pemberita secara rambang, memberitahu bahawa premis hiburan adalah satu tempat yang paling sesuai untuk berhibur bersama teman-teman sekerja.

“Biasalah naik pub ini, sudah menjadi trend masyarakat pada zaman sekarang. Di sana (pendalaman), saya kurang berbelanja kerana tiada tempat sesuai untuk melepaskan tekanan bekerja. Wang hanya dibelanja untuk membeli keperluan asas seperti makanan dan bekalan petrol.

“Apabila datang bercuti pada hujung minggu atau pada musim cuti sekolah, saya akan gunakan peluang itu untuk ‘happy’ bersama teman-teman yang lain.

“Ia merupakan satu kepuasan. Pub mempunyai ‘nikmatnya’ tersendiri. Soal belanja di pub tidak menjadi masalah kerana saya bijak menguruskan wang,” tegasnya.

Hakikatnya berhibur tiada salah tetapi harus menerusi saluran yang betul dan bukannya membazir di pusat-pusat hiburan.

Apa yang membimbangkan, golongan seperti guru yang mengunjungi pusat hiburan adalah sangat menyedihkan kerana mereka adalah harapan masyarakat untuk mendidik anak bangsa dan bukannya mengajar pelajar untuk ‘enjoy’.

Perkara ini harus dipandang serius khususnya di peringkat atasan sektor-sektor awam kerana dibimbangi akan menganggu rentak kerja dalam sektor terbabit.

Jika diambil kira, golongan kakitangan awam adalah golongan yang sering diberi keutamaan terutama daripada soal kenaikan gaji, bonus, kemudahan dan sebagainya, khasnya golongan guru.

Jika gejala ini tidak dibendung, maka hasrat untuk menzahirkan impian kerajaan iaitu menjadikan perkhidmatan awam bertaraf bertaraf dunia sukar untuk direalisasikan.    

What do you think of this story?
  • Angry (100%)
  • Sad (0%)
  • Nothing (0%)
  • Interesting (0%)
  • Great (0%)

 

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Affiliates

 

Supplement Downloads

Member of