Aktiviti pelalian demam campak mulai bulan ini hingga Dis

0

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan menjalankan aktiviti pelalian ‘measles’ (demam campak) untuk kanakkanak berumur satu hingga enam tahun mulai bulan ini hingga Disember.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata aktiviti itu akan dijalankan di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi untuk jangkitan ‘measles,’ khususnya di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak.

“Aktiviti itu akan dijalankan di klinik kerajaan, taska, tadika, pusat jagaan kanak-kanak kerajaan dan swasta serta kawasan kediaman seperti projek perumahan rakyat.

“Tarikh dan tempat aktiviti pelalian akan dimaklumkan menerusi edaran risalah oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat, sekurangkurangnya seminggu sebelum aktiviti dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, kementerian menyasarkan pengurangan penyakit demam campak kepada 28 kes setahun selari dengan sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia agar demam campak dihapuskan dari Rantau Asia Pasifik menjelang akhir tahun 2012.

“Ibu bapa diharap dapat memberi kerjasama dengan memastikan anak-anak mendapat pelalian itu supaya jangkitan ‘measles’ dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun lepas 1,569 kes disahkan demam campak (kadar kes 55 bagi setiap satu juta penduduk) manakala sehingga Jun tahun ini 1,224 kes (40 kes bagi setiap satu juta penduduk), 70 peratus daripada kes demam campak yang dikesan didapati tiada pelalian demam campak.

Demam campak merupakan sejenis penyakit yang disebabkan virus ‘measles’ dan ia amat mudah berjangkit kepada orang lain melalui titisan cecair mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin. — Bernama