Polis rampas 109 komputer, RM4,268 dalam Ops Dadu

0

JAUTEH (kanan) menunjukkan komputer yang berjaya dirampas dalam Ops Dadu.

KOTA KINABALU: Sebanyak 109 set komputer dan wang tunai bernilai RM4,268 berjaya dirampas polis dalam serbuan di empat buah premis berasingan di Sepanggar dan Bandaran Berjaya di sini kelmarin.

Dalam operasi khas ‘Ops Dadu’ itu, polis turut menahan lima lelaki berusia 15 hingga 44 tahun dipercayai penjaga premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata pihaknya menjalankan operasi itu selama dua hari bermula Rabu lepas di kedua-dua kawasan terbabit.

Menurutnya, serbuan dibuat berdasarkan aduan orang awam yang mengatakan ada premis perjudian haram dibuka di kawasan mereka.

“Serbuan pertama dilakukan di Pusat Komersil Salut, Sepanggar dan polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun serta merampas 30 set komputer serta wang tunai RM2,600,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini kelmarin.

Beliau berkata, sebuah lagi premis di kawasan sama turut diserbu dan pihaknya menahan seorang penjaga premis lelaki berusia 27 tahun.

Jauteh berkata, sebanyak 28 set komputer dan wang tunai RM1,280 turut dirampas.

Sementara itu, Jauteh berkata dalam serbuan di Bandaran Berjaya kira-kira jam 9.30 malam Khamis lepas, dua premis berhampiran turut diserbu.

“Tiga lelaki ditahan dalam serbuan itu dan sebanyak 51 set komputer selain wang tunai RM388 dirampas.

“Semua tahanan dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.