Pelajar cemerlang mudah ke universiti, sektor kerja

0

TAHNIAH: Karim (tengah barisan belakang) merakamkan kenangan bersama para pemenang Kejohanan Under 11 SCA Kanga Cricket Sixes semalam. — Gambar Jeffry Mostapha

KUCHING: Pelajar perlu sedar bahawa kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum penting memudahkan kemasukan ke universiti mahupun sektor pekerjaan.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, untuk menjadi seorang pelajar cemerlang yang berkebolehan, pelajar harus menunjukkan prestasi yang baik dalam kedua-dua bidang iaitu akademik dan kokurikulum.

“Tanggungjawab kita di sekolah ialah menjadi pelajar yang baik dalam prestasi akademik dan kokurikulum kerana kita tahu apabila sudah menjadi pelajar berkebolehan ia memberi kelayakan kepada diri kita untuk memasuki universiti atau mencari kerja pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Under 11 SCA Kanga Cricket Sixes di Sekolah Kebangsaan (SK) Tabuan di sini semalam.

Karim yang juga Menteri Muda Perumahan berkata, kecemerlangan dalam kedua-dua bidang itu akan menjadi sandaran oleh majikan atau univerisiti terhadap prestasi pelajar.

Pada masa sama, beliau memberitahu sukan kriket semakin pesat membangun di negeri ini sekali gus memberi peluang baharu kepada pelajar mahupun belia untuk menjadikan sukan itu sebagai satu kerjaya baharu.

“Saya melihat sukan ini semakin popular dalam kalangan rakyat Sarawak malah hari ini (semalam) kita menyaksikan sebanyak 16 sekolah menyertai kejohanan ini. Syabas saya ucapkan kepada Persatuan Kriket Sarawak (SCA) yang berjaya mengembangkan sukan ini,” katanya lagi.

SK Tabuan A merangkul gelaran juara selepas berjaya menewaskan SK Gita No.2 pada perlawanan akhir semalam, sekali gus membawa pulang wang tunai RM200, piala dan medal.

SK Gita No.2 pula membawa pulang wang tunai RM150, piala dan medal.

Manakala tempat ketiga dan keempat pula dimenangi SK Siol Kanan dan SK Tabuan C masing-masing membawa pulang wang tunai RM100 dan RM50 berserta piala dan medal.

Sementara itu, Mohd Syukri Madeli dari Sk Tabuan A dinobatkan sebagai pemain keseluruhan terbaik, manakala Mohd Amir Haris (SK Siol Kanan) dan Mohd Khairul Azmi (Sk Gita 2) masing-masing dinobatkan pemukul terbaik dan pembaling terbaik pada kejohanan itu.

Hadir sama Presiden SCA Awang Mahyan Mohamad, Guru Besar SK Tabuan Aluyah Salleh dan tetamu kehormat lain.