PGA rampas 27,000 bungkus rokok

0

LAHAD DATU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk sejumlah 27,000 bungkus rokok jenama Astro bernilai RM232,876.40 termasuk cukai.

Turut ditahan ialah tiga lelaki warga asing yang dipercayai dalang kepada kegiatan itu dalam satu operasi yang dilakukan pada Khamis lalu di kawasan Pantai Tanjung Labian. PGA juga merampas dua kenderaan jenis Proton Wira yang digunakan.

Pegawai Pemerintah BN 17 PGA, Supt Ahmad Fuad Othman berkata dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 12.30 malam itu, bertindak atas maklumat awam, sepasukan lapan anggota Kompeni B bersama Tiger Platun yang diketuai oleh Insp Simon Vadivello telah bergegas ke lokasi kejadian dan melakukan intipan sebelum menyerbu lokasi terbabit.

“Ketika intipan, pihak kita mendapati ketiga-tiga suspek sedang leka melakukan aktiviti pemunggahan barangan seludup dari kawasan tepi pantai untuk dimuatkan ke dalam kederaan.

“Anggota kita seterusnya bertindak mengepung dan menyerbu kawasan itu dan berjaya menahan tiga suspek lelaki berumur 23 hingga 31 tahun bersama barangan rampasan sebanyak 27,000 bungkus rokok jenama Astro,” katanya.

Tambahnya, kejayaan itu adalah merupakan kejayaan yang melibatkan orang awam bersama pasukan Polis Diraja Malaysia dalam membanteras aktiviti penyeludupan melibatkan penyeludupan rokok.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada masyarakat di daerah ini yang sentiasa memberikan kerjasama kepada pasukan PDRM dalam menyalurkan apa juga bentuk maklumat berhubung kegiatan jenayah yang dilakukan di daerah ini.

“Kejayaan ini juga turut dikongsi bersama kepada semua anggota yang terlibat dalam melaksanakan tugasan dengan cemerlang dan sentiasa peka terhadap persekitaran untuk terus melaksanakan tugasan dalam menangani aktiviti penyeludupan daripada terus berleluasa di daerah ini,” katanya.

Jelas Fuad lagi, antara kejayaan lain yang dilakukan oleh PGA sepanjang tempoh sebulan ini bermula 5 September hingga 5 Oktober adalah merampas sebanyak 552 bungkus rokok seludup jenama Marlboro bernilai RM32 ribu (termasuk cukai). Rampasan melibatkan sebuah bot laju dan satu enjin sangkut 40 kuasa kuda bernilai RM16 ribu bersama tangkapan seorang lelaki warga asing.

Pihaknya juga turut berjaya merampas sebanyak 575 liter minyak petrol bernilai RM1,092.50 semasa melakukan operasi di Pantai Felda Tanjung Labian dan turut merampas sebuah pam bot bersama dua enjin bernilai RM5,000.

“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan KPDNKK untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah, diharapkan menerusi kejayaan itu BN17 PGA akan terus proaktif dan agresif dalam melaksanakan tugasan menjaga kawasan tanggungjawab dari sebarang aktiviti jenayah.