LTB adakan latihan kecemasan

0

KECEMASAN: Anggota penyelamat sedang menjalankan rawatan kecemasan kepada penumpang pesawat yang tercedera dalam latihan di Bintulu semalam.

BINTULU: Lapangan Terbang Bintulu (LTB) mengadakan latihan kecemasan kepada kakitangannya semalam, bagi persediaan menghadapi situasi sebenar sekiranya berlaku sebarang kecemasan di lapangan terbang berkenaan.

Latihan kecemasan itu melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Penyelamat dan Memadam Kebakaran LTB.

Setiap pasukan bekerjasama dalam kerja-kerja menyelamat semasa situasi kecemasan yang diwujudkan sebagaimana kejadian sebenar.

Dalam situasi kecemasan itu, para anggota penyelamat mempraktikkan cara sebenar dalam kerja-kerja menyelamatkan mangsa nahas kapal terbang serta memadamkan kebakaran bagi mengurangkan risiko kejadian lebih buruk dalam nahas terbabit.

Latihan kecemasan itu merupakan antara aktiviti yang dijalankan oleh pihak pengurusan lapangan terbang terbabit bagi mendedahkan pihak berkaitan dengan langkah-langkah menghadapi situasi kecemasan melibatkan kebakaran dan pendaratan cemas.