Pelajar maut ditembak bakakuk rakan sendiri

0

RANAU: Seorang pelajar tingkatan empat terbunuh setelah terkena tembakan rakan sendiri ketika asyik memburu binatang di dalam hutan berhampiran Kampung Balisuk di sini.

Insiden kira-kira jam 10 malam itu, mangsa Albarth Oboth,16, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matupang Jaya itu mati serta merta di tempat kejadian.

Dikatakan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepalanya akibat terkena bedilan senjata buatan sendiri yang juga dikenali sebagai ‘bakakuk’.

Sebelum insiden berkenaan, mangsa dipercaya keluar bersama rakannya, seorang lelaki berusia 21 tahun ke hutan untuk memburu tenggiling.

Bagaimanapun, remaja terbabit maut setelah tertembak dan rakan kepada mangsa kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada bapa mangsa di kediaman mereka berhampiran tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurut beliau, susulan laporan yang diterima oleh polis, rakan mangsa telah ditahan pada Ahad lepas kira-kira jam 2 petang.

“Suspek ditahan berhampiran kawasan hutan Kampung Balisuk dan hasil pemeriksaan ke rumahnya, kita telah menemui selaras senapang bakakuk.

“Hasil siasatan awal mendapati senapang itu dipercayai diguna ketika kejadian terbabit,” katanya.

Tambah beliau, tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.