Projek BALB Matu/Daro siap Feb

0

KEMUDAHAN ASAS RAKYAT: Ketua-ketua kaum dan ketua kampung di kawasan Matu dan Daro merakamkan kenangan bersama Wahab (tujuh kiri), Zuraimi (lapan kiri) dan John (topi kuning).

MATU: Projek Membina dan Menyiapkan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Wilayah Matu/Daro Bahagian Mukah yang dijangka siap menjelang Februari 2013 bakal memberikan banyak manfaat kepada penduduk di kawasan tersebut.

Pegawai Penguasa Jabatan Kerja Raya (JKR) Zon Wilayah Tengah John Ateng Pawang berkata, projek yang menelan kos berjumlah RM79 juta itu mula dilaksanakan pada 6 Jun 2011.

“Projek pembinaan loji air ini apabila siap kelak dapat menyediakan 10.5 juta liter air sehari untuk menampung keperluan penduduk di sekitar kawasan Matu dan Daro,” ujarnya kepada pemberita selepas Program Tinjauan Lokasi Pembinaan Projek di Kampung Jemoreng, semalam.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Igan Datuk Wahab Dollah dan Pengarah JKR Negeri Sarawak Ir Zuraimi Sabki, ketua-ketua kaum dan ketua kampung di kawasan Matu dan Daro.

Katanya lagi, pelaksanaan projek meliputi kerja-kerja pembinaan stesen pam, saluran air mentah yang baharu, loji rawatan air bersama tangki takungan air, tangki kelodak dan penapis.

“Selain itu, skop kerja lain termasuk simpanan air terawat bawah tanah, stor penyimpanan bahan kimia, rumah pam air terawat, rumah bekalan kuasa serta yang lain,” jelas beliau.

Mengulas lebih lanjut, John memberitahu, JKR sebagai agensi pelaksana dengan kontraktor Konsortium Mewah Kota Sdn Bhd – Pembinaan Nomisual akan berusaha menyiapkan projek mengikut jadual.