Kelab Muaythai SS Fighters sapu empat kategori

0

JOHAN: Azan menunjukkan hadiah kemenangan selepas mengalahkan lawannya pada Kejohanan Muaythai Charity Challenge II di Kuching.

KUCHING: Kelab Muaythai SS Fighters menepati ramalan apabila memenangi empat daripada tujuh kategori yang dipertandingkan pada Ke­johanan Muaythai Charity Challenge II di Kompleks Belia dan Sukan, di sini se­malam.

Kemenangan pertama SS Fighters muncul hasil ke­jayaan Mohd Syazmin Affif menewaskan rakan sepasukan Mohd Aiman Haiqal.

Mohd Syahmi Affif juga tidak berdepan masalah un­tuk mengalahkan Muhd Nur Hakim dari Kelab Silat Muaythai Lempong sekali gus menghadiahkan kemenangan kedua kepada SS Fighters.

Kemenangan ketiga SS Fighters dihadiahkan Mu­hammad Azan yang mengene­pikan cabaran Eddy dari Kelab Kenyalang Muaythai.

Penguasaan SS Fighters berterusan dengan kemenan­gan bergaya Awang Ahmad yang mengalahkan peninju dari Boneo Combat walau­pun menghadapi cabaran sengit.

Ketika ditemui selepas pertarungan Azan berkata, kemenangan yang dicapai memang tidak dijangka kerana lawannya merupakan pesaing hebat.

“Saya memang berpuas hati dengan kemenangan hari ini (semalam), namun latihan berterusan tetap dijalankan bagi menghadapi kejohanan lebih besar nanti,” katanya.

Beliau yang berasal dari Kelantan dan merupakan penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) men­jelaskan, sesi latihan hanya dijalankan sekiranya ada kela­pangan masa terutama selepas selesai mengikuti kuliah di universiti.

“Kalau kelas pagi maka saya akan berlatih petang dan jika kelas pagi dan petang, latihan dilakukan pada sebelah malam,” ujarnya.

Azan yang mewarisi seni muaythai daripada datuk dan ayahnya berazam un­tuk menyertai kejohanan lebih besar pada masa akan datang sekiranya mendapat peluang.

“Saya pernah mewakili Kel­antan dalam sukan tinju dalam Sukan Malaysia (SUKMA),” jelasnya.

Beliau berkata, peninju di Sarawak mempunyai potensi untuk berkembang memand­ang kerana mempunyai kemu­dahan yang lengkap.

“Saya yakin tidak lama lagi ramai peninju Sarawak mampu bersaing di peringkat kebangsaan,” kata Azan.

Sementara itu, kejohanan semalam turut menyaksikan Mohd Fariszuan dari Kam­pung Panglima Seman (KPS) muncul pemenang apabila menewaskan Alex Fong (Bor­neo Combat).

Peninju Borneo Combat, Ronald Tee juga tidak ber­depan masalah menewaskan Norizwan Zawawi dari Kelab Kenyalang Muaythai.

Kategori terakhir menyak­sikan Mohd Zahid dari Kelab Kenyalang Muaythai men­galahkan Sunny Dabornido (Borneo Combat).

Antara kelan muaythai yang menyertai kejohanan itu merangkumi SS Fighters, JBL (Jalan Biawak-Lundu), KPS (Kampung Panglima Seman), BC (Borneo Combat) dan Ke­lab Kenyalang Muaythai.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut had­ir menyaksikan kejohanan tersebut dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.