KUCHING: Kelab Muaythai SS Fighters menepati ramalan apabila memenangi empat daripada tujuh kategori yang dipertandingkan pada Kejohanan Muaythai Charity Challenge II di Kompleks Belia dan Sukan, di sini semalam.
Kemenangan pertama SS Fighters muncul hasil kejayaan Mohd Syazmin Affif menewaskan rakan sepasukan Mohd Aiman Haiqal.
Mohd Syahmi Affif juga tidak berdepan masalah untuk mengalahkan Muhd Nur Hakim dari Kelab Silat Muaythai Lempong sekali gus menghadiahkan kemenangan kedua kepada SS Fighters.
Kemenangan ketiga SS Fighters dihadiahkan Muhammad Azan yang mengenepikan cabaran Eddy dari Kelab Kenyalang Muaythai.
Penguasaan SS Fighters berterusan dengan kemenangan bergaya Awang Ahmad yang mengalahkan peninju dari Boneo Combat walaupun menghadapi cabaran sengit.
Ketika ditemui selepas pertarungan Azan berkata, kemenangan yang dicapai memang tidak dijangka kerana lawannya merupakan pesaing hebat.
“Saya memang berpuas hati dengan kemenangan hari ini (semalam), namun latihan berterusan tetap dijalankan bagi menghadapi kejohanan lebih besar nanti,” katanya.
Beliau yang berasal dari Kelantan dan merupakan penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjelaskan, sesi latihan hanya dijalankan sekiranya ada kelapangan masa terutama selepas selesai mengikuti kuliah di universiti.
“Kalau kelas pagi maka saya akan berlatih petang dan jika kelas pagi dan petang, latihan dilakukan pada sebelah malam,” ujarnya.
Azan yang mewarisi seni muaythai daripada datuk dan ayahnya berazam untuk menyertai kejohanan lebih besar pada masa akan datang sekiranya mendapat peluang.
“Saya pernah mewakili Kelantan dalam sukan tinju dalam Sukan Malaysia (SUKMA),” jelasnya.
Beliau berkata, peninju di Sarawak mempunyai potensi untuk berkembang memandang kerana mempunyai kemudahan yang lengkap.
“Saya yakin tidak lama lagi ramai peninju Sarawak mampu bersaing di peringkat kebangsaan,” kata Azan.
Sementara itu, kejohanan semalam turut menyaksikan Mohd Fariszuan dari Kampung Panglima Seman (KPS) muncul pemenang apabila menewaskan Alex Fong (Borneo Combat).
Peninju Borneo Combat, Ronald Tee juga tidak berdepan masalah menewaskan Norizwan Zawawi dari Kelab Kenyalang Muaythai.
Kategori terakhir menyaksikan Mohd Zahid dari Kelab Kenyalang Muaythai mengalahkan Sunny Dabornido (Borneo Combat).
Antara kelan muaythai yang menyertai kejohanan itu merangkumi SS Fighters, JBL (Jalan Biawak-Lundu), KPS (Kampung Panglima Seman), BC (Borneo Combat) dan Kelab Kenyalang Muaythai.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut hadir menyaksikan kejohanan tersebut dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.