Kerajaan terbuka kepada komen dan saranan

0

TAHNIAH: Taib menyampaikan Ijazah Sarjana Muda kepada Fauzi Zainal Abidin daripada Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat semasa Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-16 semalam.

Graduan diajak tingkat kecekapan program, perancangan kerajaan demi pembangunan, rakyat

KOTA SAMARAHAN: Para graduan diajak bersama-sama meningkatkan kecekapan program dan perancangan yang diperkenalkan oleh kerajaan menerusi sumbangan mereka dalam kepakaran masing-masing demi pembangunan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata kerajaan kini lebih bersikap terbuka dalam usaha meningkatkan kecekapan dalam sistem pentadbiran.

Malah katanya, kerajaan juga serius dalam usaha membasmi budaya-budaya tidak sihat dalam menjayakan program-program pembangunan kepada rakyat.

“Di sini saya dapat melihat sumbangan graduan kita bukan sahaja membantu menyumbang kepakaran dalam bidang masing-masing apabila bekerja nanti malah berpeluang memberi maklum balas untuk membaiki program dan perancangan yang diperkenalkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang ketiga Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Ke-16 di sini semalam.

“Inilah dasar kerajaan yang perlu kita sokong, dasar yang lebih berjiwa rakyat dan bersungguh-sungguh menangani segala permasalahan daripada perspektif yang lebih menyeluruh dan bukannya daripada sudut pandangan sempit dan dipengaruhi pihak yang tidak bertanggungjawab,” tambahnya.

Taib memberitahu, di bawah agenda transformasi negara yang diilhamkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), kerajaan bermatlamat untuk membangunkan negara dalam pelbagai bidang secara lebih menyeluruh supaya tiada sesiapa yang tersisih daripada arus pembangunan.

Jelasnya, beberapa inisiatif telah diperkenalkan seperti Gagasan 1Malaysia, Model Baharu Ekonomi, Program Tranforamasi Kerajaan, Bidang Keberhasilan Utama Negara dan Lonjakan Inovasi.

“Kesemua ini mencerminkan keikhlasan kerajaan untuk memajukan rakyat tanpa mengira kaum dan negeri, pada masa yang sama pembangunan rakyat di luar bandar khususnya di Sarawak dan Sabah turut diberi penekanan,” katanya.

Menyentuh mengenai pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Taib berkata, ia dapat memberi ruang untuk mahasiswa menyuarakan pandangan mereka mengikut saluran betul.

Tegasnya, sikap mudah terikut-ikut tanpa usul periksa dan mempercayai khabar angin di siber adalah kesan negatif daripada perkembangan ICT dan ledakan maklumat tidak terkawal.

“Jadi, para graduan sebagai generasi muda hari ini perlulah lebih kritikal dalam menyaring dan menerima apa-apa maklumat agar tidak terpesong daripada tujuan dan sumber sebenarnya,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut memuji dan berbangga dengan penglibatan aktif UNIMAS dalam Projek Pembangunan Wilayah Tengah serta laporan tenaga kerja yang diperlukan untuk Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Saya percaya dengan komitmen semua pihak dan bakal tenaga muda di Sarawak termasuk graduan yang di sini pada hari ini maka SCORE mampu muncul sebagai nadi penggerak ekonomi dan sosial yang berkesan dan diurus tadbir dengan baik,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis konvokesyen itu semalam Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Datu Dr Hatta Solhi, Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid dan tetamu kehormat lain.