Program KTS Golden Jubilee Youth Camp bermula semalam

0

SELAMAT DATANG: Peserta KTS Golden Jubilee Youth Camp merakam kenangan di hadapan Crown Towers semalam.

KUCHING: Program KTS Golden Jubilee Youth Camp membuka tirai semalam dan akan berlangsung selama seminggu mulai 14 hingga 21 Oktober 2012 di pelbagai lokasi terpilih di bandar ini.

Seramai 40 peserta terdiri daripada golongan belia dari pelbagai bahagian di negeri ini dipilih untuk menyertai program ini sebagai tetamu khas sempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 KTS.

Sejurus tiba di sini semalam, peserta yang dibahagikan kepada lima kumpulan kecil dibawa melawat ke Galeri KTS yang terletak di Tingkat 6, Bangunan Crown Towers, Jalan Pending di sini.

Pada lawatan tersebut, peserta telah diberikan taklimat oleh penyelaras program, Doreen Eng mengenai bahan-bahan serta maklumat-maklumat penting mengenai sejarah dan kejayaan KTS yang disimpan di dalam galeri ini.

Selesai lawatan singkat ke Galeri KTS, peserta yang berumur dalam lingkungan 19 hingga 35 tahun menghadiri sesi orientasi yang berlangsung di Auditorium, Crown Towers sebelum menghadiri majlis pelancaran pada sebelah malam.

Menurut Doreen, selain sebahagian daripada aktiviti sempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 KTS, program ini turut bertujuan mengeratkan hubungan baik antara peserta daripada pelbagai kumpulan etnik dan kerjaya.

Pada masa yang sama ia diharap akan dapat memperkukuhkan kemahiran berkomunikasi dan kepimpinan belia dalam bidang yang diceburi masing-masing.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang berlangsungnya program ini ialah bengkel seni dan kraf, permainan pantai, lawatan ke Kampung Budaya Sarawak, kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, ceramah motivasi, kejohanan paintball serta bengkel mengenai produk KTS.