Site Last Updated 9:46 am, Thursday

1.9 juta ahli PERKESO layak saring kesihatan percuma

Posted on October 16, 2012, Tuesday

KUALA LUMPUR: Seramai 1.9 juta pekerja swasta berumur 40 tahun ke atas dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) layak mendapat saringan kesihatan percuma mulai Januari 2013, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata, ia bertujuan mengenal pasti mereka yang berisiko mendapat penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung, pemeriksaan kolesterol serta membolehkan ujian saringan untuk kanser prostat bagi lelaki serta ‘pap smear’ dan mamogram untuk wanita.

“Apa yang diperiksa akan ditentukan satu jawatankuasa perunding terdiri daripada pakar-pakar perubatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat antara PERKESO dan Majlis Perubatan Malaysia di sini semalam.

Subramaniam berkata, saringan kesihatan itu hanya perlu dilakukan sekali sahaja dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO.

Program saringan kesihatan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 Sept lepas untuk memastikan golongan pekerja itu sentiasa sihat dan produktif.

Beliau berkata buat permulaan, PERKESO memperuntukkan RM200 juta untuk melaksanakan program itu dan RM20 juta untuk tahun-tahun seterusnya.

“Antara 140,000 dan 150,000 pekerja layak mendapat manfaat daripada program ini setiap tahun,” katanya.

Saringan kesihatan itu akan dijalankan di 2,719 klinik swasta yang menjadi panel PERKESO dengan menggunakan baucar khas yang akan diberi kepada majikan, kata beliau.

Bagaimanapun, Subramaniam berkata bagi lokasi yang tidak mempunyai klinik panel seperti di kawasan pedalaman, saringan boleh dijalankan di klinik kesihatan terdekat.

“Bagi klinik yang bukan panel PERKESO tetapi berminat menyertai program ini, mereka boleh berdaftar dengan kita (PERKESO) supaya pekerja lebih mudah cari klinik,” katanya. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.