Saya bukan beban pada BN, UMNO dan kerajaan: Shahrizat

0

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menafikan beliau menjadi bebanan kepada Barisan Nasional, UMNO dan kerajaan berikutan skandal projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Shahrizat, yang memberi keterangan pada prosiding kes saman fitnah beliau terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategi parti itu, Mohd Rafizi Ramli di Mahkamah Tinggi di sini, berkata peletakan jawatannya pada April lepas juga bukanlah kerana menjadi bebanan parti yang diwakili.

Ketua Wanita UMNO itu berkata tindakan meletak jawatan adalah satu pengorbanan untuk keluarga akibat fitnah tersebut.

“Saya meletak jawatan untuk membersihkan nama saya dan keluarga, serta berkorban demi parti,” katanya ketika disoal balas peguam Ranjit Singh, yang mewakili Mohd Rafizi.

Shahrizat turut memberitahu mahkamah Zuraida dan Mohd Rafizi telah menzalimi serta memfitnahnya dengan mengeluarkan kenyataan seperti didakwa.

Beliau juga menyalahkan mereka berikutan tersiarnya berita (di beberapa laman portal) berhubung saranan beberapa bekas pemimpin tertinggi UMNO seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Rafidah Aziz, yang memintanya meletak jawatan.

Ditanya Ranjit rasional tindakan meletak jawatan sedangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati beliau bebas daripada projek NFC, Shahrizat berkata, “Ia kerana kata-kata fitnah daripada kedua-dua defendan terhadap saya dan keluarga. Saya mempunyai suami dan tiga orang anak, dan mahu bersama mereka.”

Shahrizat menyifatkan serangan itu bagaikan dirancang dan amat kejam kerana ia mempersoal tanggungjawab beliau sebagai seorang isteri, ibu, wanita dan pemimpin.

Pada 19 Jan lepas, beliau memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnahnya dalam isu NFC.

Beliau menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi sebagai ganti rugi teladan dan teruk, selain injunksi bagi menghalang defendan terus mengeluarkan kenyataan, sama ada secara lisan atau penerbitan, terhadapnya berhubung NFC atau syarikat bersekutu.

Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera bersambung 18 Mac tahun depan. — Bernama