Banyak peluang kerja dalam 10 bidang

0

INGIN CUBA: Salah seorang Pengarah CerealTech School of Baking Technology, Mike Flemming (dua kanan) menunjukkan kepada Fatimah cara-cara untuk membuat kek dan pastri.

KUCHING: Pembangunan Sarawak terutama di wilayah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melibatkan 10 bidang utama.

Bidang tersebut merangkumi pelancongan, kejuruteraan marin, perikanan dan penternakan, maritim, akuakultur, perkayuan, industri besi dan kaca serta industri minyak sawit.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, keadaan itu akan memerlukan tenaga kerja lebih ramai untuk industri hiliran, keusahawanan dan perniagaan.

“Dengan pelaksanaan SCORE dan peluang yang disediakan, kita tidak boleh terlepas gelombang pembangunan di negeri ini sebaliknya mengambil peluang untuk melengkapkan rakyat dengan kemahiran bagi mengisi keperluan pekerjaan serta perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Pendidikan Komanwel 2012 yang diadakan di Pusat Beli-belah The Spring di sini, semalam.

Menurutnya, untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di SCORE, institusi pengajian tinggi dan pusat kemahiran perlu bersedia menyediakan pelajarnya dengan kemahiran dan pengetahuan bersesuaian dengan kehendak pasaran pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kerajaan akan terus berusaha untuk mewujudkan pusat latihan dan pembangunan kemahiran mencakupi setiap lapisan masyarakat termasuk pelajar, lepasan sekolah dan golongan bekerja.

“Usaha seperti ini penting untuk memastikan kita mengenal pasti kemahiran dan bidang pengajian yang bersesuaian dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa,” ujarnya.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan UCSI Datuk Peter Ng dan Pengarah Urusan UCSI Communication Sdn Bhd Gracie Geikie.