Site Last Updated 5:06 pm, Saturday

Pembetung dapat atasi banjir

by Mohd Achil Norrlatep. Posted on October 20, 2012, Saturday

SIAP SEDIA: Lee (kiri) dan Lawrence (tengah) memeriksa pelan ketika lawatan mereka ke tapak projek semalam.

MIRI: Masalah banjir kilat di kawasan Tudan bakal berakhir dengan tiga projek memasang pembetung bernilai RM1.5 juta di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shin berkata ia melibatkan lebih 100 buah rumah di kawasan Tudan Fasa 1 dan 3, Tudan Fasa 2 serta Tudan Fasa 6.

“Kebanyakan rumah di kawasan berkenaan tidak dipasang pembetung dan jika ada pun ia terlalu kecil dan tidak sesuai,” katanya pada lawatannya ke beberapa tapak projek di Kuala Baram dan Tudan semalam.

Menurutnya, ketiadaan pembetung atau pembetung tidak sesuai menyebabkan parit di kawasan terlibat tersumbat dan kerap kali dilanda banjir kilat terutama ketika hujan lebat.

Jelasnya lagi, ia merupakan projek bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Miri.

Terdahulu di kawasan Kampung Muhibbah, Kuala Baram, Lee turut melawat projek pembinaan pintu kawalan untuk limpahan air bernilai RM100,000.

“Ini bagi mengelakkan air sungai daripada melimpah ketika air pasang dan menyebabkan kawasan ini kerap banjir,” ujar Lee sambil memberitahu projek dijangka siap pada bulan November depan.

Tambah beliau, projek seumpamanya telah terbukti berkesan di kawasan Pujut Tanjung Batu yang tidak lagi mengalami banjir kilat.

Sementara itu, Lee berkata penduduk di kawasan Tudan kini tidak perlu bimbang tentang kesesakan lalu lintas ketika waktu puncak.

Menurut beliau, projek melebarkan jalan sepanjang 400 meter sedang giat dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Ini merupakan keutamaan penduduk di sekitar kawasan ini ketika menghadapi waktu puncak di mana lalu lintas sesak,” katanya kepada pemberita ketika lawatannya di tapak projek semalam.

Menurutnya, projek tersebut sudah bermula sejak bulan lepas dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak kontraktor mempercepatkan projek bernilai sekitar RM200 juta tersebut.

Turut hadir ketika lawatan berkenaan ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Lawrence Lai.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.