Promosi popularkan S’wak di Semenanjung M’sia

0

TERIMA KASIH: Lee (dua kiri) menerima cenderamata daripada Siti Mohani Saad (dua kanan) selepas meluangkan masa menyaksikan Konsert Pilihanku Rock Jiwang.

MIRI: Satu promosi secara besar-besaran termasuk melalui hebahan radio nasional perlu dilaksanakan berikutan masih ramai rakyat Semenanjung Malaysia tidak mengenali Sarawak secara dekat.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin turut mengakui bahawa penduduk Semenanjung Malaysia tidak tahu dan kurang didedahkan dengan bahagian-bahagian di Sarawak meskipun yang berstatus bandar raya.

“Ada kalangan mereka tidak tahu bahagian-bahagian lain di negeri ini, contohnya seperti Miri mendapat pengiktirafan dan berstatus bandar raya kedua Sarawak,” katanya pada Majlis Konsert Pilihanku Rock Jiwang, di Permymall malam Ahad lalu.

Justeru katanya, satu usaha mempromosi dan memperkenalkan Sarawak kepada rakyat Semenanjung Malaysia perlu dilaksanakan secara berterusan agar tidak timbul sebarang kekeliruan.

“Kita mengharapkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi siaran radio Nasional FM memainkan peranan mempromosikan Miri menerusi program-program khas,” jelasnya.

Lee yang juga Menteri Muda Sukan memberitahu bahawa Miri sememangnya terkenal dengan kawasan-kawasan pelancongan yang unik dan perlu disebarluaskan kepada orang luar.

“Miri memiliki Taman Negara Lambir, Gua Niah, Gua Mulu, Loagan Bu’nut dan sebagainya dan merupakan tarikan kepada pelancong tempatan dan asing datang ke sini setiap tahun,” katanya.

Oleh yang demikian tambahnya, Miri sebenarnya perlu didedahkan secara dekat kepada orang luar termasuk penduduk Semenanjung Malaysia supaya mereka berminat untuk menerokai Miri.

“Dalam perkembangan ini, RTM merupakan satu saluran yang tepat untuk menyalurkan maklumat berinformasi terus ke telinga pendengar.

“Saya menyarankan agar orang ramai tidak mendengar khabar angin atau maklumat yang diputar belit sesetengah pihak sebaliknya mendapatkan maklumat yang tepat melalui siaran RTM,” katanya.

Menurut Lee, segala maklumat yang disampaikan melalui saluran media kerajaan itu memberi penerangan yang jelas dan tepat kepada pendengar mengenai dasar-dasar kerajaan.

Sementara itu, kira-kira 1,000 pengunjung membanjiri pekarangan Permymall Miri sempena Konsert Pilihanku Rock Jiwang bersama Nasional FM, Miri FM dan Permymall.

Antara artis yang turut menjayakan konsert terbabit ialah Ezad Lazim (Exist), Jimmy (Screen), Asheed (Def-Gab-C), Ally (AXL’S) dan penyanyi tempatan Ricky Anderson, Chloe dan Norliza Usop.

Hadir sama Datuk Bandar Miri Lawrence Lai, Timbalan Pengarah Bahagian Program Radio RTM Angkasapuri Siti Mohani Saad, Ketua Bahagian Rancangan Miri FM Petrus Abai dan Pengurus Kompleks Permymall Johnson Wee.