STU banyak perjuang hak warga pendidik

0

SARATOK: Sejak penubuhannya, Kesatuan Guru Sarawak (STU) telah banyak memperjuang hak warga pendidik dan membela nasib anak bangsa negeri ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Jelaing Mersat berkata kebanyakan cetusan idea yang dilontarkan oleh STU telah dilaksanakan oleh pentadbiran negara ini dalam mempertingkat sistem pendidikan negara.

“STU juga terkenal sebagai satu badan yang menjadi tunjang utama untuk ahli-ahlinya yang terdiri daripada kalangan guru untuk menjadi tempat mereka mengadu, meluahkan masalah, menyampaikan cadangan serta lain-lain perkara, khususnya berkaitan profesion perguruan.

“Melalui pelbagai perkara itu adalah jelas bahawa STU telah memainkan peranan yang amat penting dan bergerak seiring dengan matlamat penubuhannya,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Guru Sedunia anjuran STU Bahagian Betong, di Dewan Rumah Dayak Saratok, malam kemarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Saratok menggesa guru-guru agar sentiasa bersedia dan memantapkan diri untuk menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan.

Menurut Jelaing, kerajaan telah memfokuskan bahawa bidang pendidikan negara itu adalah amat penting dan perlu diberikan perhatian khusus dalam pentadbiran sesebuah negara.

“Ini kerana maju dan mundur sesebuah negara itu banyak dipengaruhi oleh hasil daripada corak dan pembentukan modal insan melalui sistem pendidikannya.

“Harapan kita agar para guru berusaha menggunakan kreativiti diri khususnya semasa menjalan tanggungjawab sebagai pendidik untuk menarik minat pelajar mengikuti sesi pembelajaran,” jelas Jelaing.

Beliau berharap guru-guru terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, kerana kerajaan telah banyak memperjuang dan memastikan hak mereka terus terpelihara.

Pada majlis itu, Jelaing turut mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada STU Bahagian Betong.

Turut hadir Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz, Pengerusi STU Bahgian Betong Lucy Mindu Kayan, Pemangku Pegawai Pelajaran Daerah Saratok Bundak Sulaw dan wakil Presiden STU, Irie Ambau.