Beregu Donaven, Stamford menjuarai Badminton Bumiputera Tertutup Bintulu

0

BINTULU: Donaven Sujang dan Stamford Switzer muncul juara keseluruhan bagi kategori lelaki terbuka Kejohanan Badminton Bumiputera Tertutup Bahagian Bintulu anjuran bersama Kelab Sukan Badminton Serakup Parkcity (KSBSP) dan Kementerian Belia dan Sukan Bahagian Bintulu, di sini baru-baru ini.

Kemenangan pasangan itu sekali gus membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM300 beserta pingat dan sijil penyertaan.

Naib juara disandang beregu Jomel Fauzi dan Suhardy dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM200 dan tempat ketiga dimenangi pasangan Remy dan Herman.

Manakala tempat keempat pula diraih pasangan Daniel dan Juen. Tempat ketiga dan keempat masing-masing meraih wang tunai RM100 beserta pingat dan sijil penyertaan.

Bagi kategori beregu veteran terbuka lelaki, pasangan Herman dan James muncul sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM300 beserta pingat dan sijil penyertaan.

Naib juara pula disandang oleh Mustapa Talaha dan Abdul Rani yang memenangi hadiah wang tunai RM200 manakala tempat ketiga dimiliki beregu Tinggom dan Abu Akup.

Tempat keempat pula diraih pasangan Abdul Rahim dan Abdul Rani dengan masing-masingnya membawa pulang hadiah wang tunai RM100 beserta pingat dan sijil penyertaan.

Dalam pada itu, KSBSP turut mengadakan bengkel latihan badminton kepada golongan remaja di peringkat sekolah rendah dan menengah di bahagian ini bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam arena sukan badminton.

Pengerusinya, Klambu Kanyan berkata pada masa sekarang bengkel itu diadakan di Dewan Persatuan Hokkien Bintulu di sini setiap Selasa dan Jumaat bermula jam 7 hingga 9 malam.

Untuk keterangan lanjut berhubung bengkel latihan badminton itu boleh menghubungi Medan Insol di talian 014-8918385.