Peperiksaan percubaan SPM secara online

0

MENINGKATKAN PENGUASAAN: Doris (tiga kanan) dan Penolong Kanan Pentadbiran dan Akademik Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah Aishah Ahmad menunjukkan cara menggunakan Educube kepada pelajar. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Celcom Axiata Berhad (Celcom)  akan meningkatkan persediaan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperkenalkan peperiksaan percubaan secara online menerusi Educube.

Produk terbaru syarikat telekomunikasi gergasi negara itu menggabungan perkhidmatan pendidikan online tiga dalam satu dengan melibatkan sekolah, tuisyen dan peperiksaan.

Peperiksaan percubaan online SPM Educube akan memberi peluang kepada calon meningkatkan penguasaan mereka dalam empat subjek utama merangkumi Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia dengan 40 soalan yang perlu dijawab dalam tempoh sejam.

Apabila melanggan produk tersebut, pelajar juga boleh memiliki masa dan tarikh antara 22 hingga 28 Oktober bagi menduduki peperiksaan percubaan online namun hanya untuk tempoh sekali sahaja.

Menurut Pengurus Pemasaran Wilayah Sarawak Doris Ting, keputusan keseluruhan di seluruh negara akan dipaparkan dalam tempoh 48 jam selepas tarikh akhir peperiksaan.

“Pelajar yang mengikuti peperiksaan ini boleh melihat keputusan, mengkaji jawapan salah dan mengenal pasti kedudukan di kalangan semua pelajar yang menduduki peperiksaan menerusi Kad Laporan Educube Online.

“Tiga pelajar terbaik bakal menerima dana pendidikan berjumlah RM10,000,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata, Educube mengandungi lebih daripada 70,000 soalan dan permainan serta peraduan.

“Modul seperti e-Assessment, Soalan Praktis Topikal dan Pengajaran Multimedia dilihat mampu menggalakkan pelajar untuk belajar”.

Pada satu majlis yang diadakan di Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah semalam, seramai 160 calon SPM sekolah terbabit menikmati perkhidmatan tersebut secara percuma untuk tempoh sebulan.

Setiap langganan dikenakan caj hanya RM4.99 sebulan manakala untuk pelanggan pelajar perlu menghantar ON EDUCUBE menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) ke 21234 dan mengikut arahan yang diberikan.

Untuk keterangan lanjut, para pelajar boleh melayari http://educube.thecube.my.