Sarawak tiada jurulatih tenis berkelayakan

0

BINTANG BAHARU: Alia (dua kiri) bersama Zaini (dua kanan), Abang Isa Abang Mantahir dan Sharifah Hasidah pada kejohanan Tenis Perpaduan PBB P.194 2012 anjuran Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak di Kuching minggu lalu. — Gambar Harry Ilias

KUCHING: Sarawak memerlukan lebih ramai jurulatih tenis berkelayakan bagi melatih pemain-pemain tenis remaja khususnya wanita di kalangan Bumiputera.

Jurulatih profesional, Zaini Abdul Razak berkata ini perlu memandangkan jumlah pemain tenis remaja wanita negeri terlalu sedikit berbanding negeri-negeri lain.

Katanya, untuk melahirkan pemain-pemain tenis yang berkualiti Sarawak memerlukan lebih ramai jurulatih tempatan yang berkelayakan dan berwibawa.

“Kehadiran mereka dapat membantu meningkatkan mutu permainan pemain-pemain tenis kita, sekali gus memberi mereka peluang untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Kita juga harus menyediakan latihan yang sistematik dan berterusan,” kata Zaini yang memiliki sijil tahap dua Persatuan Lawan Tenis Malaysia (LTAM) di sini semalam.

Jurulatih berasal dari Miri itu menjelaskan bahawa pemain-pemain remaja yang berhasrat untuk mencipta nama dalam sukan tenis perlu memiliki ketahanan mental, fizikal dan disiplin yang tinggi.

Mereka juga harus didedahkan dengan beberapa perlawanan di peringkat tempatan, kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Sokongan daripada ibu bapa dan badan-badan kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Sosial (KPS), Jabatan Belia dan Sukan (JBS) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) adalah perlu dalam membantu program pembangunan pemain-pemain ini,” katanya.

Sementara itu, pemain di bawah kendalian Zaini iaitu Alia Azman muncul selaku pemain remaja wanita pertama diserapkan dalam skuad bayangan Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak.

Pelajar Kolej Abdillah itu telah menjalani latihan intensif selama tiga tahun dan pernah menyertai Kejohanan Tenis Siri Bawah 14 Tahun Asia 2012, di sini baru-baru ini.

“Alia mempunyai bakat dan potensi tinggi… jika diberi latihan yang lebih intensif, dia mampu mengorak langkah lebih jauh seperti kejohanan tenis remaja ITF,” akuinya.

Menurut Zaini, pemain berusia 13 tahun itu akan mengambil bahagian pada kejohanan tenis remaja bawah 16 tahun BIMP-EAGA di Manila hujung tahun ini.