Isuzu D-Max terjunam di dalam tasik berdekatan Masjid Bandaraya Likas

0

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan maut setelah pacuan empat roda yang dipandunya terjunam ke tasik berhampiran Masjid Bandaraya, Likas dalam satu nahas jalan raya awal pagi kelmarin.

KELIHATAN anggota bomba sedang berusaha menarik kenderaan mangsa yang terjunam di dalam tasik berhampiran Masjid Bandaraya kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Sumardie Sunardi, 30, yang memandu Isuzu D-Max itu dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke Masjid Bandaraya dari arah Yayasan Sabah dan tidak semena-mena hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke tasik bekenaan.

Impak daripada kejadian itu, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan serius di bahagian kepala dalam insiden jam 5.30 pagi terbabit.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa daripada kenderaannya kira-kira jam 6 pagi.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Isuzu D-Max itu telah terbabas dan terjunam di tasik berkenaan.

“Ekoran kejadian itu, mangsa difahamkan telah meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

“Mayat mangsa telah dikeluarkan oleh anggota bomba dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses bedah siasat,” katanya.

Menurut beliau, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.